AZLAN Typewriter patah kaki kiri selepas terjatuh ketika menyertai aktiviti mendaki di Sungai Batangsi. FOTO IG azlantypewriters
AZLAN Typewriter patah kaki kiri selepas terjatuh ketika menyertai aktiviti mendaki di Sungai Batangsi. FOTO IG azlantypewriters
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi Azlan Typewriter patah kaki kiri selepas terjatuh ketika menyertai aktiviti mendaki di Sungai Batangsi, Semenyih, Selangor, semalam.

Azlan berkata, akibat terpijak kawasan tanah licin dia gagal mengawal diri hingga menyebabkan dia terjatuh.

"Sebelum kejadian saya bersama empat lagi rakan mendaki bukit di kawasan Sungai Batangsi sekitar jam 9 pagi. Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, kami dalam perjalanan turun ke sebuah sungai untuk melihat keindahan di sana.

"Namun disebabkan tanah yang licin kerana hujan sehari sebelumnya, saya terjatuh dan tergolek. Saya sedar saja kaki saya sudah terkulai dan tidak boleh bergerak. Kecederaan yang dialami nampak macam ringan, tapi saya dengar bunyi patah di bahagian kaki. Mujurlah ketika kejadian salah-seorang rakan membawa kereta dan bergegas membawa saya ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan. Kalau tidak, memang terpaksa hubungi bomba," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Azlan, doktor memaklumkan buku lali dan tulang pada bahagian belakang kaki kirinya patah menyebabkan dia perlu menjalani pembedahan.

"Buat masa ini, doktor hanya balut kaki saya dulu. Lagi tiga hari saya perlu ke hospital semula untuk memasang implan dan melakukan pembedahan.

"Kalau boleh saya tak nak melakukan pembedahan, tapi apapun saya tunggu temujanji bersama doktor nanti dan meminta nasihatnya. Saya harap kepada pendaki di luar sana supaya berhati-hati dalam keadaan sekarang ini kerana struktur tanah yang licin kerana musim hujan.

"Saya juga bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan yang serius. Nasib baik ada kawan-kawan pada ketika itu dan mereka banyak membantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 5:07 PM