ROY makin rasa disisihkan ketika di usia emas.
ROY makin rasa disisihkan ketika di usia emas.
Syafil Syazwan Jefri


JIKA sebelum ini, Roy yang popular menerusi lagu Kau Ratnaku cukup popular sebagai pelantun lagu-lagu patriotik.

Menginjak usia, ditambah pula dengan situasi pandemik yang berlaku, nama Roy seakan mula malap dan dilupakan.

Terasa hati dengan apa yang berlaku, Roy tidak menafikan bahawa namanya kini mungkin tidak lagi dipandang oleh orang-orang yang pernah memandang dan memujanya suatu ketika dulu.

"Saya sendiri terasa hati, umpamanya saya adalah penyanyi yang dah lapuk dan dilupakan. Kalau dulu, apa-apa acara yang memerlukan penyanyi lagu patriotik, nama saya akan menjadi pilihan," katanya.

Berbicara mengenai luahan hatinya menerusi panggilan telefon, dapat didengar dengan jelas sekali keluhan dan rasa pilu hati penyanyi berusia 57 tahun ini tatkala bercerita.

"Saya seolah-olah sudah dilupakan oleh orang-orang contohnya, pihak kerajaan. Susah juga untuk saya kongsikan kerana saya faham bahawa inilah lumrah alam," katanya.

Bukan ingin mengungkit, namun apa yang membuatkannya lebih tersentuh adalah apabila negara luar pula yang lebih menghargai bakat dan suaranya.

"Bukan saya nak kata, jasa saya terlalu besar untuk negara atau apa. Tapi, di Malaysia saya tak pernah terima apa-apa pingat penghargaan seperti mana yang saya terima daripada Indonesia," katanya.

Pernah dihina dan dikeji kerana menyanyikan lagu patriotik, Roy atau nama sebenarnya Mohammad Rauzan Alwi menerima setiap kecaman itu sebagai pembakar semangat.

"Saya bukan macam segelintir penyanyi zaman sekarang yang kaya-raya. Pada ketika itu, saya adalah artis yang miskin.

"Kalau nak ke mana-mana pun, sama ada saya berjalan atau naik bas saja kerana itu saja kemampuan saya. Tapi, Alhamdulillah bila lama kelamaan, rezeki makin bertambah. Namun, ramai juga yang mengecam, menghina dan melemparkan kata-kata keji kepada saya," katanya.

Menurutnya, ada antara kenalan mentertawakannya apabila dia memulakan langkah sebagai penyanyi lagu patriotik.

"Saya bukan merancang untuk menjadi penyanyi lagu-lagu patriotik, tetapi ia adalah takdir dan berlaku atas rancangan orang lain.

"Ada yang mentertawakan saya sebab saya menyanyi lagu patriotik. Mereka memandang saya seperti penyanyi berkelas rendah dan macam saya teruk sangat. Padahal, kerana lagu patriotiklah saya berpeluang menyanyi di pentas dunia antaranya di acara Sukan Komanwel. Mereka yang mencerca saya, saya anggap mereka menunjukkan kebodohan mereka," katanya.

Kini, hidupnya lebih banyak berubah selepas dijangkiti Covid-19 tahap empat pada awal tahun 2021.

"Banyak yang berubah selepas saya dijangkiti Covid-19 terutamanya dari segi kesihatan. Walaupun sudah kembali pulih, doktor maklumkan bahawa saya perlu berdepan dengan pelbagai kekangan mungkin selama setahun atau lebih.

"Tapi, apa pun, hidup perlu diteruskan. Sesukar mana pun yang saya perlu hadapi, saya perlu kembali bekerja untuk menampung kehidupan memandangkan banyak juga tawaran yang dibatalkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 6:30 AM