Ronny Chieng dan Gin Lee.
Ronny Chieng dan Gin Lee.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan dua anak seni kelahiran negeri itu iaitu penyanyi, Gin Lee dan juga pelakon, Ronny Chieng.

Dalam hantaran di Facebook, baginda mengucapkan terima kasih kepada dua bintang itu kerana mengharumkan nama Johor sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Terima kasih kerana mengharumkan nama Johor. Saya percaya Johor mempunyai banyak bakat terpendam yang masih belum dicungkil," titah baginda.

Tambah baginda, kejayaan Gin yang berjaya mencipta nama di Hong Kong dan Ronny yang berjaya mencipta nama di Hollywood patut dijadikan inspirasi.

"Jadikan kejayaan mereka sebagai contoh dan inspirasi kepada rakyat Johor. Saya berharap mereka terus kekal meletakkan nama Johor di mata dunia," titah baginda.

Gin mula mencipta nama di Hong Kong sekitar 2011 dan popular sebagai penyanyi Cantopop menerusi beberapa karya berbahasa Kantonis.

Di acara Miss Hong Kong 2021, Gin bergandingan dengan penyanyi popular Hong Kong, Jacky Cheung dan mempersembahkan lagu duet berjudul Let the Street Lights Rest When the Sun Rises.

Sementara itu, Ronny pula cukup dikenali menerusi beberapa filem di Hollywood antaranya Crazy Rich Asians dan terbaru, Shang-Chi and The Legend of the Ten Rings.

Dalam satu video yang tular baru-baru ini, Ronny membuat ucapan Selamat Hari Malaysia dan menunjukkan pasport Malaysia yang dipegangnya.

"Johor Bahru kampung saya. Saya anak Malaysia," katanya dalam video itu.

Harian Metro sebelum ini berkesempatan mewawancara Ronny dan dia meluahkan rasa bangganya dapat terbabit dalam pembikinan filem Marvel itu, sekali gus turut menyelitkan sedikit dialog berbahasa Melayu dalam filem itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 5:50 PM