Bob Lokman
Bob Lokman
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penulis lirik dan pelakon, Bob Lokman, 57, bersyukur keadaan kesihatannya berada dalam keadaaan baik biarpun sudah beberapa kali tidak melakukan pemeriksaan susulan untuk rawatan jantungnya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman dihubungi berkata dia terpaksa menunda beberapa temujanji pemeriksaan susulan dengan doktor sebelum ini berikutan kes Covid-19 yang tinggi di hospital berkenaan.

"Walaupun sudah empat bulan tidak ke hospital untuk pemeriksaan, namun doktor tetap memantau keadaan kesihatan saya menerusi komunikasi di telefon. Saya juga akan menghubungi doktor sekiranya berasa kurang sihat dan ada yang tidak kena pada diri.

"Kes Covid-19 yang tinggi di Hospital Sultanah Bahiyah membuatkan saya perlu menunda temujanji dengan doktor. Alhamdulillah, setakat ini keadaan kesihatan saya okey, masih sihat dan tidak terdesak pun untuk ke hospital. Bekalan ubat juga mencukupi," katanya kepada Harian Metro.

Bob berkata dia juga akur keadaan kesihatannya sudah tidak sepenuhnya pulih seperti dulu kerana ada masa sihat dan kadangkala sakit. Jelasnya, soal sakit nak datang memang tak boleh dijangka, jadi dia kena sentiasa menjaga diri.

"Kalau kurang sihat pun, biasanya saya alami masalah pernafasan kerana sesak nafas disebabkan air berlebihan dalam paru-paru. Oleh itu, saya kena tahan minum air, tapi perlu buang air kecil dengan kerap.

"Malah, pada waktu malam pula jika sesak nafas saya akan guna mesin bantuan pernafasan di rumah. Saya ada mesin sendiri yang dibelikan oleh Ustaz Azhar Idrus sekitar 10 tahun lalu, ketika mula-mula sakit dulu," katanya.

Bob yang sudah hampir dua tahun menetap di Kota Bharu, Kelantan sejak awal tahun lalu berkata dia kini menjalankan perniagan menjual bubur daging yang dimasak oleh isterinya, Relawati Daud.

"Alhamdulillah, sejak dua bulan lalu saya bersama isteri menjana pendapatan kami menerusi bisnes bubur daging. Setiap hari kami akan menyediakan sekitar 200 bekas untuk dihantar ke 15 buah kedai makan di sekitar Kota Bharu dengan harga sebekas RM4.

"Kadang-kadang jualan habis, kadang itu tidak. Tapi, biasalah adat berniaga dan yang penting saya bersyukur dapat mencari rezeki buat keluarga dengan membantu isteri berniaga. Kerja pun mudah, saya hanya hantarkan jualan dan pungut hasil niaga," katanya

Bob berkata memandangkan sekarang dia tidak lagi aktif dalam kerjaya seni, namun dia mengambil peluang menggunakan namanya sebaga jenama pada bubur daging yang dijual itu. Ujarnya, lagipun sejak dulu memang orang dah kenal dengan nama Bob Lokman.

Terdahulu, Bob yang sebelum ini mengalami masalah jantung akhirnya selamat menjalani pembedahan membetulkan degupan jantung iaitu 'Cardiac Resynchronization Therapy & Defibrillator (CRTD) di Hospital Sultanah Bahiyah, pada awal Disember, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 4:15 PM