NABILA Razali
NABILA Razali
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penyanyi Nabila Razali, 29, kerugian lebih RM2,000 selepas gerai perniagaan ayam goreng miliknya di Kampung Baru, di sini, dipecah pencuri, semalam.

Nabila berkata, dia terkejut dan terkilan kerana sedikit sebanyak insiden itu memberi kesan kepada perniagaan serta pekerjanya.

"Saya terkejut dan sedih apabila dapat tahu Ayo Fried Chicken cawangan Kampung Baru dipecah masuk. Saya faham keadaan sekarang ini semua orang mungkin terdesak mahu cari duit. Tapi saya kasihan apabila mereka gunakan pendekatan untuk memecah masuk berbanding minta kerja secara halal.

"Mungkin kalau mereka minta kerja, saya boleh pertimbangkan untuk ambil sebagai pekerja," katanya.

Menurut penyanyi Peluang Kedua itu, dia berharap insiden terbabit tidak akan berulang pada masa depan kerana dia ada pekerja yang mencari rezeki di situ.

"Saya berniaga bukan untuk diri sendiri, tapi niat saya untuk berkongsi rezeki dengan pekerja. Apabila situasi ini berlaku, secara tidak langsung ia mengganggu rezeki dan kredibiliti pekerja-pekerja saya. Jadi saya harap benda ini tidak berlaku lagi," katanya.

Terdahulu, Nabila berkongsi keadaan kedainya selepas dipecah masuk menerusi sebuah video di Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 12:27 PM