Ridzuan Abdul Rahman


Pandemik Covid-19 yang bermula sejak Disember 2019 sememangnya memberi impak besar kepada industri sukan apabila menyaksikan deretan stadium, gelanggang, lapangan dan arena sunyi sepi tanpa sebarang kejohanan.

Malah pandemik ini juga turut mengkucar-kacirkan jadual acara sukan global sehingga menjejaskan Temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo yang sepatutnya berlangsung pada Jun 2020 lalu.

Penangguhan hampir setahun ini menyentap semangat dan emosi atlet-atlet negara.

Ditambah, tiada kejohanan yang negara dapat sertai untuk menguji prestasi malahan, sesi latihan juga hanya mampu dilakukan bersendirian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun selepas berakhirnya temasya yang dianggap paling sukar dalam sejarah pada Ogos dan September lalu, Olimpian Malaysia pulang dengan satu perak dan satu gangsa, manakala wira-wira paralimpik turut mencipta kejayaan berharga di pentas dunia.

Apapun di sebalik kecemerlangan itu sebenarnya terpahat pelbagai kisah suka dan duka yang menjadi memori buat 55 atlet negara untuk dikongsi bersama dengan seluruh rakyat Malaysia.

Justeru sempena Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun, RTM menerusi Unit Sukan TV RTM menerbitkan program khas bertajuk "Demi Malaysia, Antara Keringat dan Airmata".

BARISAN atlet negara yang berjaya megah dengan pingat dimenangi mereka.
BARISAN atlet negara yang berjaya megah dengan pingat dimenangi mereka.

Ia sama sekali menampilkan kisah kejayaan atlet negara seperti Datuk Azizulhasni Awang, Abdul Latif Romly dan ramai lagi bintang yang berkorban tenaga dan keringat mereka demi untuk mengharumkan nama negara tercinta di pentas arena dunia.

Banyak pengajaran boleh diambil dari cerita-cerita mereka yang kebanyakannya mengorbankan keseronokan masa muda untuk memberi fokus pada bidang sukan yang diceburi.

Azizul, contohnya tidak gentar untuk berdepan cabaran daripada pelumba basikal dari Barat yang rata-rata mempunyai fizikal yang agak besar, bertubuh sasa dan lebih tegap.

Tidak ketinggalan, dia juga pernah berdepan tragedi pada perlumbaan Siri Piala Dunia Klasik di Manchester 2011 yang mengakibatkan kakinya tertusuk serpihan kayu trek.

Semestinya pelbagai lagi paparan menarik turut ditampilkan dalam program Demi Malaysia, Antara Keringat dan Airmata yang akan disiarkan mulai esok (19 September), jam 9 malam di saluran TV1.

AZIZULHASNI, atlet yang menjadi kebanggaan negara.
AZIZULHASNI, atlet yang menjadi kebanggaan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 6:30 AM