AINA Abdul.
AINA Abdul.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi Aina Abdul tampil dengan single baharu berjudul AINA ABDUL yang menggabungkan tiga lagu popular ciptaannya iaitu Sumpah, Semalam dan Sepi.

Aina berkata, gabungan lagu berjudul AINA ABDUL itu adalah simbolik kepada isi hati dan apa yang dirasai selama ini.

"Gabungan tiga buah lagu ini adalah isi hati sebenar saya. Ketika merakamkan lagu ini saya tidak dapat fikirkan judul lagu ini. Jadi, saya mengambil keputusan menggunakan nama saya sebagai judul dan menjadikan ia sebagai simbolik mengenai diri saya dan apa yang saya rasa,"katanya yang melancarkan muzik video AINA ABDUL di YouTube, semalam.

Menurut Aina, gabungan tiga lagu itu disifatkan cukup berat untuk diekspresikan kerana setiap lagu mempunyai cerita yang mendalam.

"Saya memang sengaja susun semula tiga lagu ini dan menjadikan sebuah lagu baharu. Saya percaya susunan bait-bait lirik yang digabungkan menjadi sebuah lagu akan membuatkan pendengar mengimbau kembali single-single saya sebelum ini dan emosi yang cuba disampaikan.

"Sepatutnya saya nak lancarkan lagu ini lebih awal, tapi atas kekangan yang tidak dapat dielakkan saya memilih 16 September sebagai tarikh pelancaran," katanya.

Katanya, dia ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan muzik video yang hanya mengambil masa dua hari untuk disiapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 5:10 PM