CAKRA Khan tidak sangka mampu bertahan dan karier muziknya masih diterima peminat.
CAKRA Khan tidak sangka mampu bertahan dan karier muziknya masih diterima peminat.
Susunan Najiy Jefri


Tempoh 10 tahun berada dalam industri seni muzik adalah satu pencapaian luar biasa buat penyanyi Indonesia, Cakra Khan walaupun dibanjiri dengan kehadiran ramai penyanyi baharu yang tidak kurang hebatnya.

Kata penyanyi berusia 29 tahun itu, dia tidak menyangka mampu bertahan dalam arena seni suara dan bersyukur karier muziknya masih diterima baik peminat hingga kini.

"Tempoh 10 tahun bukannya singkat. Banyak penyanyi hebat dengan suara yang bagus muncul selepas saya.

"Alhamdulillah, bakat saya masih dipandang dan diterima peminat. Saya sangat bersyukur.

"Walaupun industri seni dibanjiri dengan kehadiran ramai penyanyi muda berbakat besar, tapi saya masih ada tempat dan itu sudah membuatkan saya berasa bertuah," katanya.

Tambah Cakra, biarpun melalui pelbagai episod suka dan duka sepanjang bergelar penyanyi namun demi kecintaan terhadap bidang muzik dia tetap bangkit mengejar cita-citanya.

CAKRA mahu terus menghasilkan karya berkualiti.
CAKRA mahu terus menghasilkan karya berkualiti.

"Ya saya penat. Tetapi saya puas kerana usaha keras dilakukan selama ini membuah hasil. Saya suka menyanyi, jadi tidak mengapa jika saya lelah (penat) melakukan perkara yang saya suka," katanya.

Sedekad usia pembabitannya dalam industri seni, Cakra akui belum puas dengan perjalanan yang ditempuhi sekarang.

Kata Cakra, dia akan terus menghasilkan karya-karya berkualiti untuk peminat tercinta yang terus menyokong muziknya.

Tambahnya lagi, dia juga berharap kehadiran single baharu yang akan dilancar nanti berupaya membuahkan hasil lumayan dan mendapat maklum balas positif daripada pendengar.

"Sejujurnya, jika dihitung perjalanan 10 tahun ini tidaklah terlalu lama. Tapi, selagi ada usaha dan kerja keras semuanya pasti akan berhasil.

"Ketika kita punya lagu yang tidak menjadi 'hits', saya akan terus mencabar diri mencari lagu baharu yang lebih bagus dan berkualiti.

"Sedekad berada di dalam industri seni ini sebenarnya masih tidak memberi makna apa-apa. Saya akan terus berusaha untuk memberikan yang lebih baik lagi. Semoga kehadiran saya sentiasa boleh diterima oleh semua masyarakat," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 6:43 AM