Rubiah Suparman.
Rubiah Suparman.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon veteran Rubiah Suparman, 74, sebelum ini terpaksa menutup operasi Restoran Puteri di Brickfields, yang dikongsi bersama penulis lirik terkenal, Datuk Habsah Hassan pada 10 Ogos lalu.

Ia berikutan restoran berusia 37 tahun yang dibuka sejak 1984 ini tidak mampu lagi menanggung kadar sewa yang tinggi pada masa pandemik Covid-19 yang kini hampir berlarutan dua tahun.

Terbaharu, Rubiah yang terkenal dengan filem Bila Hati Telah Retak memohon belas ehsan pihak berwajib agar memudahkan urusannya mendapatkan kelulusan permit pekerja asing untuk Restoran Puteri miliknya bersama anak-anak di Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

"Saya bukanlah peniaga besar. Kalau boleh saya nak uruskan perkara ini secara jalan lurus dengan menggunakan khidmat pekerja asing untuk meneruskan operasi restoran ini.

"Pekerja saya yang asal banyak sudah balik ke negara masing-masing kerana permit tak boleh disambung selepas 10 tahun bekerja. Untuk ada pekerja baharu, saya kena ada permit.

"Tapi untuk dapatkan permit terlalu susah, jadi saya minta pihak berkenaan untuk memberikan kelulusan seperti yang diminta," katanya ketika ditemui di Restoran Puteri Sungai Pencala milik Habsah.

Rubiah berkata, dia sudah menggunakan saluran yang betul apabila berurusan dengan Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Sumber Manusia untuk permohonan mendapatkan pekerja dan permit bagi pekerja asing, namun masih menemui jalan buntu.

"Sudah dua bulan saya berusaha. Ada pekerja saya buat menerusi laman sesawang, tapi tiada sebarang jawapan. Saya sendiri pun pergi ke pejabat KDN di Putrajaya, tapi mereka kata bukan kuasa mereka.

"Katanya, ia urusan Kementerian Sumber Manusia. Saya dah pergi dan mereka pula kata bukan kuasa mereka. Mereka bagi laman sesawang dan nombor telefon pihak berkenaan, tapi semuanya pun masih tiada jawapan.

"Saya tak nak melanggar undang-undang dengan menggaji pekerja tanpa permit. Sebabnya saya tak mampu nak bayar ejen," katanya lagi.

Menurutnya, ejen boleh menguruskan perkara ini tetapi kosnya agak tinggi apabila mengenakan caj sebanyak RM1,000 seorang untuk syarat kuota.

"Itu belum lagi permit dan hanya dapatkan kelulusan kuota. Harga permit tak pasti pula mereka caj berapa. Saya senang hati kalau semua pekerja asing yang saya ambil, ada permit sah.

"Yang minta kerja sekarang ramai warga asing. Orang kita memang tak berminat kerja di restoran. Malah, ramai dalam kalangan orang kita tak bertahan lama dan hanya bekerja selama beberapa bulan saja," katanya.

Rubiah berkata, Restoran Puteri di TTDI sudah beroperasi selama 20 tahun dan mendapat sambutan yang baik daripada pelanggan.

"Saya kini mengalami masalah kekurangan pekerja kerana memerlukan sekitar lima hingga sepuluh pekerja sekarang. Malah, pekerja sebelumnya dapat permit menerusi pemutihan dan selepas lima tahun kena balik ke negara asal.

"Saya minta sangat-sangat jasa baik pihak berwajib dan saya hanya nak tahu macamana permudahkan proses ini. Saya tak tahu siapa sepatutnya bertanggungjawab," katanya ditemani Habsah.

Rubiah tidak mahu perkara yang berlaku membuatkan dia terpaksa menutup operasi Restoran Puteri TTDI pula.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 10:34 PM