SINGLE baharu tampil berbeza ketengahkan isu pandemik Covid-19.
SINGLE baharu tampil berbeza ketengahkan isu pandemik Covid-19.
Ridzuan Abdul Rahman


Biarpun bukan Melayu, namun pelakon dan penyanyi Jasper Supayah, 28, bersyukur kehadirannya dari awal sudah diterima baik oleh peminat industri hiburan tanah air.

Bahkan sokongan padu yang diberikan mereka terhadapnya, berjaya meletakkan gadis berdarah campuran Cina-India ini kekal berada di arena industri seni.

Jasper berkata, dia berbangga bergelar rakyat Malaysia dan setiap peristiwa yang membabitkan negara, pasti dia turut sama merasai kesannya.

"Misalnya ketika Ramadan lalu di mana umat Islam berpuasa, saya pula mempunyai ramai kawan di kalangan orang Melayu.

"Apabila mereka berpuasa, saya secara tak langsung sedia ikut serta. Ia satu pengalaman baharu yang sangat menyeronokkan dan mencabar.

"Perkara sebegini baharu saya nekad membuatnya sekarang, tapi sudah didedahkan sejak zaman sekolah lagi. Justeru, inilah keunikan Malaysia," katanya.

Baharu melancarkan single solonya berjudul Empati pada Jun lalu, Jasper yang membintangi drama Aku Yang Kau Gelar Isteri kini tampil lagi dengan lagu terbaharu berjudul Jiwa Sama.

Jika single nyanyiannya sebelum ini yang dicipta Nami Harez, Hizey Wan dan Jack Jafni itu bertemakan cinta, namun Jiwa Sama pula tampil berbeza kerana mengetengahkan isu pandemik Covid-19.

"Ia adalah cetusan idea saya sendiri sebagai penzahiran rasa terhadap isu pandemik Covid-19 yang semakin berleluasa terutama di tanah air kita hingga kini.

POSTER projek istimewa single berkenaan.
POSTER projek istimewa single berkenaan.

"Untuk itu, saya bergabung dengan Adam Izzy bagi melahirkan sebuah kolaborasi melodi mantap untuk halwa telinga pendengar di musim pandemik sebegini.

"Istimewanya, karya ini lagi kerana ia menggabungkan beberapa penyanyi baharu yang berbakat besar daripada pelbagai kaum dan bangsa," katanya.

Selain Jasper, projek ini turut menampilkan Adam Izzy, Fiza Thomas, Winnie K, Gowri Arumugam, Heeraaa, Naufa Tieha, Iss Arfan, Rachel Ang serta bakat dari Sabah dan Sarawak.

"Saya bersyukur kerana lagu ini berjaya disiapkan dalam tempoh masa yang singkat berbanding single Empati yang mengambil masa sangat lama untuk dikeluarkan.

"Bait-bait lirik Jiwa Sama memang menjurus kepada pandemik Covid-19 dan kesannya terhadap masyarakat tempatan termasuk di luar negara.

"Besarlah harapan saya agar peminat dapat menyokong dan menerima lagu ini dengan baik sebagai suntikan semangat untuk semua yang terkesan dengan virus pembunuh ini," katanya.

Jasper berkata, projek ini diterbitkan oleh Map Music sebagai usaha sama mereka ingin terus menyokong industri seni tempatan dalam menggalakkan kehadiran bakat-bakat baharu yang diharap dapat menyerlah dalam lagu ini.

Dalam perkembangan terkininya, Jasper yang aktif berlakon turut gembira kerana semakin mendapat tempat dalam cabang seni lain iaitu pengacaraan.

Menerusi pembabitannya dalam lakonan, dia sudah membintangi drama seperti Bukan Kahwin Paksa, Dayang Senandung, Derhaka Cinta Jebat, Bougainvillea, Kampung Pisang Bersiri-Siri, Langkah Terakhir, Aku Yang Kau Gelar Isteri, termasuk filem Busut Bonang dan Polis Evo 2.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 6:47 AM