PELBAGAI kreativiti digunakan untuk memberi kesan positif sempena ‘Bulan Kemerdekaan’ menerusi lagu Pusaka
PELBAGAI kreativiti digunakan untuk memberi kesan positif sempena ‘Bulan Kemerdekaan’ menerusi lagu Pusaka
Ridzuan Abdul Rahman


Kumpulan pemuzik tempatan dikenali Salammusik menggunakan kreativiti mereka untuk memberi kesan positif sempena bulan kemerdekaan ini menerusi lagu baharu berjudul Pusaka.

Lagu unik ini diinspirasikan daripada seni mempertahankan diri iaitu silat yang terkenal di seluruh dunia.

Salammusik yang ditubuhkan pada 2006, bermula dengan 'kawan-kawan' di universiti.

Dari sini, mereka yang mempunyai 10 anggota mampu melangkah jauh di dalam industri muzik Malaysia dan mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Berjaya menghasilkan banyak lagu-lagu 'hit' sebelum ini, Salammusik yang menghasilkan video muzik lagu Pusaka sudah berjaya melancarkannya pada 31 Ogos lalu.

"Lagu Pusaka ini diinspirasikan daripada seni mempertahankan diri iaitu silat yang sememangnya menjadi identiti masyarakat Nusantara.

"Silat sudah mula bertapak sejak awal ketamadunan masyarakat Melayu lama. Ia dibangunkan untuk menjadi sebahagian daripada tradisi bangsa Melayu.

"Malah, seni persembahan dan adat diterapkan untuk melatih fizikal dan mental seseorang. Selain itu, silat juga mengajar seseorang untuk bertenang dan mengimbangi kestabilan emosi," kata Salammusik.

Menurut Salammusik lagi, pengarah Areel Abu Bakar, yang pernah memenangi anugerah antarabangsa menerusi filem Geran menghubungi pihak mereka untuk menghasilkan lagu ini sebagai lagu tema bagi dokumentari silat bertajuk 'Pusaka Kita Maruah Kita'.

"Sudah tentu ia sesuatu yang menggembirakan. Kami sangat berbesar hati dengan kolaborasi ini dalam memperkenalkan keunikan adat dan budaya Malaysia di mata dunia.

"Pelancaran lagu ini sempena bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia adalah sesuatu yang sangat istimewa dan membanggakan kami juga.

"Ia mengingatkan kami mengenai perjuangan susah senang pahlawan yang terdahulu pergi sebelum kita.

"Hal ini membuatkan kita patut lebih menghargai perjuangan mereka dan tidak lupa kepada asal usul kita, sejarah dan adat yang terdahulu," kata Salammusik.

Muzik video lagu Pusaka ini juga memaparkan petikan daripada dokumentari yang sudah dihasilkan dan sememangnya harus ditonton oleh kita semua.

Dokumentari 'Pusaka Kita Maruah Kita' akan ditayangkan di TV Alhijrah dan mengandungi 13 episod. Sehubungan itu, video muzik lagu Pusaka kini boleh ditonton di YouTube dan pelantar Spotify Salammusik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 6:45 AM