SARIMAH teruja dengan pelancaran lagu duetnya berjudul Harapan.
SARIMAH teruja dengan pelancaran lagu duetnya berjudul Harapan.
Najiy Jefri


Sempena sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia baru-baru ini, penyanyi dan pengacara Che Puan Sarimah Ibrahim melancarkan lagu duetnya dengan Damian Mikhail berjudul Harapan.

Sarimah yang juga penaung Pertubuhan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (Miasa) Malaysia merangkap Pengasas Bersama dan Duta Kempen #StandForHope berkata, dia berharap mesej positif dalam lagu Harapan dapat membantu menghapuskan stigma serta memberi sokongan emosi kepada individu bermasalah mental.

"Bagi saya Harapan adalah gubahan lagu yang menyalurkan suara ramai dalam membantu individu berhadapan tekanan dalaman atau kemurungan, sekali gus menyuntik kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan rasa prihatin dalam mencegah ke arah cubaan bunuh diri.

"Lebih menarik rakaman lagu ini diadakan di rumah masing-masing bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Ia nyata satu pengalaman baharu buat kami berdua," katanya.

Lagu yang sarat mesej positif itu diharap dapat meraih perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah pimpinan Khairy Jamaluddin untuk menjadi sebahagian daripada kempen kesedaran kepada masyarakat sempena sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia.

"Kalau Yang Berhormat (YB) KJ (Khairy) tak keberatan untuk ketengahkan lagu ini sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif kami dalam memberi kesedaran kepada rakyat, ia sangat dialu-alukan.

"Kempen ini juga adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial untuk kita semua sentiasa ambil tahu keadaan emosi insan sekeliling terutama keluarga, rakan serta jiran tetangga bagi mengelakkan berlaku perkara menyedihkan kelak," katanya ketika pelancaran single baharu dan muzik video Harapan, Jumaat lalu.

Mengakui pernah berdepan masalah kemurungan selepas melahirkan anak dua tahun lalu, Sarimah tidak pernah berhenti menyebarkan kesedaran mengenai penyakit mental selain memahami situasi dilalui individu lain.

Kata Sarimah, apa yang dikongsikan adalah untuk memberi mesej positif dan menyeru supaya sesiapa yang menghadapi masalah sama untuk segera mendapatkan rawatan sebelum menjadi kronik.

"Dua tahun lalu selepas bersalin saya mempunyai kesukaran untuk tidur, rasa bimbang, bertukar pendiam, cepat berpeluh dan hilang selera makan tanpa sebarang sebab yang sukar untuk dijelaskan.

"Pada ketika itu saya tidak sedar pun ia sebenarnya tanda awal kemurungan. Namun, sokongan insan terdekat mendorong saya menemui doktor bagi mengenal pasti keadaan kesihatan mental dan fizikal saya.

"Alhamdulillah, dengan bantuan pakar, kesulitan itu dapat diatasi, malah dari situ saya mahu menolong orang lain melawan stigma menerusi perkongsian informasi supaya semua anggota masyarakat berpeluang mendapatkan bantuan sebelum terlambat.

"Apabila berkongsi dan meluahkan perasaan, kita dapat solusi untuk melegakan tekanan, apatah lagi isu mental ini kadangkala tercetus disebabkan pelbagai perkara yang kita sendiri tidak tahu di mana puncanya," katanya.

Optimis dengan single terbaharunya itu, Harapan dilihat mampu menjadi elemen penting bagi mereka yang melalui fasa penyembuhan.

"Kita tidak boleh menafikan bahawa Harapan adalah salah satu elemen penting bagi mereka yang kini melalui fasa penyembuhan dalam kehidupan.

"Justeru, ambil tahu dan ambil berat mengenai perasaan dan keadaan emosi rakan- rakan, ahli keluarga serta jiran kita supaya sama-sama dapat membantu dan mencegah berlaku perkara yang akan dikesali kelak atau lebih menyedihkan," katanya.

Menerusi perkahwinan Sarimah dengan cucu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar pada 2015, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Tunku Sofia Najihah, kini berusia dua tahun.

Sementara itu, pengasas Awareness Against Suicide (AWAS) dan Yayasan ZuriatCARE (YZC), Alia Ali pula melihat single Harapan mampu menjadi pemangkin inspirasi dan semangat.

"Kita sedia maklum sepanjang pandemik Covid-19 melanda Malaysia sejak Mac tahun lalu, kes kematian akibat bunuh diri semakin meningkat.

"AWAS menyokong usaha kerajaan yang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani isu ini. Kami juga menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia supaya bersama-sama memainkan peranan dalam memupuk kesedaran terhadap gejala bunuh diri dan memberi bantuan terhadap mereka yang terkesan akibat perilaku bunuh diri.

"Mencegah gejala bunuh diri adalah tanggungjawab bersama. Justeru, penghasilan lagu dengan genre Pop R&B dan muzik video Harapan hasil ciptaan Damian Mikhail ini dilihat mampu menjadi pemangkin inspirasi dan semangat kepada mereka yang dalam kebuntuan serta permasalahan emosi supaya tidak berasa putus asa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 6:44 AM