RITA Rudaini. FOTO IG ritrud727
RITA Rudaini. FOTO IG ritrud727
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon sensasi Rita Rudaini mendedahkan ada rakan selebriti yang menuduh dia sedang menjalani penggambaran sedangkan dirinya belum menerima suntikan vaksin Covid-19.

Rita berkata, disebabkan tuduhan tidak berasas itu, namanya kini menjadi 'panas' sekali gus mengundang fitnah lebih besar.

"Ada rakan industri fitnah saya. Cakap saya tengah jalani penggambaran. Saya tidak divaksin. Kecoh sekarang ini menjaja (cerita fitnah).

"Alahai. Sabarlah wahai teman. Jangan takut dengan rezeki awak. Rezeki awak dengan saya tidak sama," katanya.

Rita juga berpesan kepada individu terbabit supaya percaya dengan rezeki masing-masing dan tidak perlu iri hati dengannya.

"Sudah-sudahlah tu. Jangan menggelupur sangat dengan rezeki orang lain. Semua itu Tuhan sudah tulis untuk sekian-sekian hamba-Nya.

"Kalau kau menyalak dengar sampai Perlis pun, jika Allah SWT dah kata itu rezeki orang lain, rezeki dialah. Dah hilang rasa bersangka baik dengan Allah SWT?" katanya.

Dalam masa sama, Rita mengakui tidak kisah jika namanya digugurkan daripada terbabit dengan mana-mana penerbitan drama walaupun drama 100 episod sekali pun.

"Percaya pada rezeki yang Tuhan dah tetapkan. Walau 100 episod nama saya digugurkan pun, saya okay. Sebab bagi saya, Allah SWT dah tulis begitu. Saya sentiasa bersangka baik dengan-Nya. Sebab apa yang dia (Tuhan) beri tidak ada sebabnya dan Dia tidak pernah hampakan hamba-hamba-Nya," katanya. Terdahulu, kerajaan mengumumkan semua penggiat seni industri kreatif yang lengkap dua dos vaksin dibenarkan untuk kembali bergiat di negeri yang berada di Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini.

Sebelum ini, nama Rita menjadi bualan netizen di Twitter apabila ada pengguna memuat naik tangkap layar InstaStory memaparkan pelakon itu sedang merebus bunga cengkih.

Malah, ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu turut bertindak menyiar semula beberapa hantaran yang seakan menguatkan dakwaan dirinya tidak percaya dengan vaksin Covid-19.

Rita juga pernah bersuara membidas tohmahan seorang pengacara televisyen yang mendakwa dirinya sebagai seorang anti-vaksin dan kerap menyebarkan dakyah berkaitan perkara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 3:07 PM