IZARA Aishah kini sudah berhijab.
IZARA Aishah kini sudah berhijab.

Kuala Lumpur: Biarpun sudah berhijrah dengan penampilan tudung labuh sempena tahun baharu 1443 Hijrah lalu, pelakon Izara Aishah, 28, masih berdepan kritikan netizen.

Ia berikutan tindakan pelakon bernama sebenar Nik Izara Aishah ini sering memuat naik foto menggayakan fesyen tudungnya di Instagram.

Segelintir warganet mempertikaikan tindakan pelakon filem J Revolusi ini sama ada mahu berhijrah atau mahu melawa?

Izara menerusi keterangan gambar Instagramnya berkata, boleh ambil gambar cantik-cantik buat diri 'happy', janji jangan ekshen (berlagak).

Manakala menerusi Twitternya @Madame Izara, dia memuat naik status secara bergurau "Nak berhijrah ke nak melawa? Nak dodua (nak dua-dua)! sambil diiringi emoji ketawa.

Tidak kurang ada juga warganet mempertahankan Izara memintanya mengabaikan komen negatif ini.

"Janji niat kita betul, takkan orang bertudung litup tak boleh melawa? Kalau nak puaskan hati orang sampai bila-bila tak puas. Kita puaskan kehendak Allah SWT saja ok? Semoga istiqamah dengan niat kerana Allah SWT. Insya-Allah," kata seorang peminatnya.

"Setuju, awat kalau berhijrah tak boleh melawa ka? Takkan nak belemoih (buruk) kut?," kata peminat yang lain.

Selain itu, mereka meminta Izara jangan membaca komen negatif dan teruskan dengan pendiriannya serta mengabaikan 'mulut longkang'.

Izara mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Adib Khalid, 33, yang juga anak tiri Datuk Seri Siti Nurhaliza pada 2017.

Menerusi hasil perkongsian hidup selama hampir lima tahun, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 3:55 PM