THE Alif seru anak muda supaya sifat cinta negara yang mendalam.
THE Alif seru anak muda supaya sifat cinta negara yang mendalam.
Georgie Joseph

DALAM pada berjuang melandaikan kadar jangkitan Covid-19, semangat rakyat Malaysia semestinya tetap kukuh untuk meraikan Hari Kebangsaan yang bakal tiba nanti. Biar dalam kesusahan, bukan penghalang untuk tunjukkan semangat patriotik dalam diri.

Bagi menyemarakkan sambutan kali ini, kumpulan The Alif tidak mahu ketinggalan untuk tampil dengan sebuah lagu patriotik berjudul Negaraku Malaysia. Melihat judulnya saja, sudah cukup menggambarkan isi lagu berkenaan.

Menurut vokalisnya Aliff Hassan, hasrat menghasilkan lagu itu tidak lain untuk menaikkan semangat rakyat negara ini. Mereka mahu sampaikan mesej bahawa semangat juang kita tetap kuat dan sentiasa bersatu padu.

"Lagu Negaraku Malaysia ditulis kerana ingin menyeru anak-anak muda untuk menanamkan sifat cintakan negara. Lagu ini juga sedikit sebanyak mampu memupuk semangat juang untuk tanah air.

"Jika kita ada semangat juang dan cintakan negara, tidak mustahil kita bakal dipandang hebat di mata dunia. Ini kerana, keunikan dan kebolehan yang rakyat Malaysia miliki sememangnya amat hebat.

"Dalam lagu ini, kami juga menyeru agar anak bangsa kita bersama berjuang dalam apa jua perkara dengan semangat jitu. Perjuangan itu perlu dilakukan serta paling penting tanpa mengenal agama dan bangsa," katanya.

Meskipun ia lagu berunsur patriotik, The Alif mengakui karya terbaharu itu semestinya sangat mesra telinga. Justeru, mereka berharap ia bakal memberikan impak tersendiri dan disukai masyarakat.

"Lagu kali ini adalah berentak rock, namun turut disuntik dengan sedikit elemen pop. Melodinya komersial dan tidak mustahil lagu ini boleh menjadi siulan seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Apapun, semestinya perjalanan untuk merealisasikan lagu Negaraku Malaysia juga tidak mudah buat kumpulan ini. Mereka turut terkesan akibat larangan pergerakan yang dikuatkuasakan.

Justeru, mereka melakukan pelbagai inisiatif dari rumah serta mencabar kreativiti untuk tampilkan hasil yang berkualiti. Mereka bersyukur mendapat bantuan daripada pengkarya berpengalaman untuk menyiapkannya.

"Antara cabaran yang sukar ketika rakaman lagu ini adalah ia dirakam sewaktu keadaan negara menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Justeru, ia amat menghadkan kami untuk melakukan aktiviti rakaman.

"Namun dengan teknologi sedia ada, ia tidak menjadi halangan untuk realisasikan proses rakaman itu. Lagu ini dirakam di studio Hotsound, Wangsa Maju, manakala proses 'mixing' dan 'mastering' dilakukan oleh Muhd A Husni," tambah Alif.

Bagi memastikan lagu itu lebih meninggalkan impak, The Alif turut mengambil pendekatan untuk hasilkan lirik yang ringkas dan mudah dihafal. Menurut Megat selaku pemain bass, melodinya juga sangat sesuai untuk halwa telinga pelbagai lapisan umur.

"Lagu ini sesuai untuk semua golongan kerana kami memastikan melodinya mudah diterima dan dinyanyikan. Bait-bait liriknya juga mudah dihafal dan difahami oleh semua lapisan masyarakat," katanya.

Lagu Negaraku Malaysia sudah boleh didengari menerusi platform muzik digital termasuk Spotify, Joox, Apple Music, KKBox, dan Deezer. Malah, muzik video rasminya bakal dilancarkan menerusi saluran YouTube rasmi The Alif tidak lama lagi

.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 6:20 AM