Zakaria Abdul Hamid
Zakaria Abdul Hamid
Georgie Joseph

 

Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sentiasa terbuka dengan apa juga kritikan atau saranan dikemukakan asal bertujuan untuk kebaikan industri kreatif.

Ia termasuk rintihan presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau Mat London yang meluahkan kekecewaan terhadap Finas berkaitan kebajikan anak seni.

Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung pertikaian bahawa badan itu lebih sibuk mengatur kursus, bengkel dan program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCap) berbanding memikirkan hal kebajikan anak seni.

"Saya tidak ada apa-apa ulasan untuk membalas kenyataan Mat London kerana dia sendiri rakan saya dan Finas adalah rakan FDAM. Kami sama-sama nak bangunkan industri.

"Isu-isu yang dibangkitkan (Mat London) sudah beberapa kali kami jelaskan," jawabnya ringkas pada Harian Metro.

Terdahulu, Mat London tampil mendakwa Finas bukanlah satu agensi kerajaan yang memikirkan hal kebajikan anak seni. 

Beliau turut menyentuh mengenai peruntukan RM100 juta daripada kerajaan untuk anak seni yang sehingga kini tiada 'bayang'.

Dalam pada itu, Zakaria juga memuji presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli atas inisiatifnya membangkitkan isu Finas sebagai pusat pemberian vaksin (PPV).

"Terima kasih kepada Datuk Jurey membantu menggesa PPV dibuka segera untuk warga seni. Kita sama-sama berusaha untuk kebaikan industri," katanya.

Jurey memaklumkan pihaknya melalui PTVM berterima kasih kepada Finas atas inisiatif membantu industri kandungan kreatif tempatan ketika pandemik Covid-19. 

Namun, PTVM terkilan selepas lebih sebulan permohonan Finas, dikhabarkan bahawa cadangan PPV Finas itu masih belum ada maklumbalas.

Bahkan, ada ura-ura mengatakan ia ditolak oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 5:35 PM