DAFI takkan pernah berhenti usaha dalam memantapkan kerjaya seni.
DAFI takkan pernah berhenti usaha dalam memantapkan kerjaya seni.
Norhayati Nordin


NAMA penyanyi dan pelakon, Dafi Ismail Sabri, 33, pastinya tidak asing dalam industri hiburan tanah air. Apatah lagi, diam tak diam sudah hampir 13 tahun pembabitannya dalam kerjaya seni.

Namun, Dafi mengakui pencapaian diraihnya hingga kini belum lagi sampai di tahap memuaskan. Katanya, masih banyak yang perlu diperbaiki dan sedia diterokai untuk meraih kejayaan pada masa hadapan.

"Tapi, saya takkan bertindak terburu-buru kerana yakin semua itu perlu ada perancangan. Apapun, yang pasti saya tak sangka mampu bertahan dalam kerjaya ini lebih sedekad lamanya.

"Meskipun pencapaian hanya biasa-biasa, namun alhamdulillah syukur saya dapat bertahan hingga sekarang. Bukan mudah sebenarnya kerana kehadiran bakat baharu makin ramai dan bersilih ganti.

"Selain itu, usia saya juga kian meningkat dan matang. Tapi, saya sentiasa percaya pada rezeki. Dalam hidup ini, teruskan berusaha kerana setiap rezeki itu sudah ditetapkan oleh Allah dan seterusnya bersyukur," katanya.

Ditanya mengenai populariti, Dafi atau nama sebenar Gadaffi Ismail Sabri berkata, ia adalah bonus. Bagaimanapun, katanya itu bukan keutamaan hendak dicapainya kerana sudah pernah merasai dahulu.

"Popular atau tidak, bagi saya itu bukan persoalannya. Sebagai selebriti, saya akui sudah berasa gembira apabila mendapat tawaran menyanyi atau berlakon.

"Saya amat meminati bidang kerjaya ini, jadi saya sebenarnya sentiasa berusaha untuk terus bertahan. Setakat ini, saya gembira dengan apa yang diperoleh atas usaha sendiri," katanya.

Dafi yang juga anak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dia amat bangga dengan bapanya yang menjadi sumber inspirasi. Katanya, dia suka melihat cara bapanya bekerja.

Mengulas juga perancangan kerjaya, Dafi memaklumkan dia ingin tampil dengan lagu baharu. Namun, disebabkan penularan pandemik Covid-19 yang belum berakhir ini, maka perlu bersabar.

DAFI syukur masih bertahan dalam industri hiburan hingga sekarang.
DAFI syukur masih bertahan dalam industri hiburan hingga sekarang.

"Saya memang nak rakam lagu baharu kerana minat terhadap nyanyian masih menebal. Walaupun sedar begitu ramai penyanyi baharu yang muncul, saya tetap positif.

"Bagi saya, mereka ada cara mereka dan saya juga ada cara sendiri. Apapun, semuanya perlukan strategi serta mendapatkan produk lagu terbaik. Jadi, saya masih berusaha ke arah itu," katanya.

Cukup menyerlah dalam lakonan, Dafi berkata, dia hanya melakukan apa yang diminati. Selain menyanyi, katanya dia suka berlakon dan mengacara. Justeru, dia takkan menolak peluang yang datang.

Dalam kerjaya lakonannya, Dafi dilihat agak aktif membintangi drama dan teater sebelum ini. Antara drama yang pernah melonjakkan namanya ialah Dia Semanis Honey dan Klik! Pengantin Musim Salju.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 6:30 AM