MAHU terus fokus dalam bidang lakonan.
MAHU terus fokus dalam bidang lakonan.
Ridzuan Abdul Rahman


MULANYA selesa dengan kerjaya sebagai pramugari di sebuah syarikat penerbangan komersial selama lima tahun.

Namun, Nurazeera Azizi, 25, atau Zeera menerima hakikat terpaksa meninggalkan kerjaya itu pada September tahun lalu apabila kontrak tidak disambung akibat pandemik Covid-19.

Biarpun agak sedih, Zeera bersyukur kerana sekurang-kurangnya dapat menumpukan perhatian penuh dalam bidang lakonan.

"Pada usia 18 tahun, saya bekerja dengan syarikat penerbangan AirAsia pada 2014 hingga 2015. Kemudian saya berhijrah ke Malindo Air pada 2016 hingga sehinggalah ditamatkan kontrak tahun lalu.

"Bagaimanapun saya pernah menyertai pertandingan Dewi Remaja pada 2018 dan sebaik keluar, pengarah Michael Ang tawarkan berlakon drama Setelah Terlafaznya Akad.

"Biarpun watak kedua, ia tetap tinggalkan kesan kepada penonton. Tapi selepas itu saya banyak terima watak-watak biasa kerana komitmen kerja," katanya.

Kakak kepada Neera Azizi ini bersyukur kerana Michael sekali lagi menawarkannya berlakon dalam drama bersiri Love Elsa sebagai Sofea yang kini sedang ditayangkan di saluran Astro Ria.

"Apabila dah berhenti kerja, barulah saya fokus betul-betul untuk drama ini. Saya boleh ambil watak yang betul-betul menyerlah. Saya akui watak Sofea mulanya orang tak nampak.

ZEERA gembira watak Sofea diterima.
ZEERA gembira watak Sofea diterima.

"Tapi lama kelamaan barulah ia berjaya menarik perhatian penonton. Saya bersyukur dapat kerjasama Michael, pembantunya dan pelakon lain untuk menjayakan watak ini.

"Malah saya juga banyak berbincang dengan pasangan saya dalam cerita ini Ikhram Juhari untuk dapatkan keserasian agar peminat betul-betul rasa lakonan kami," katanya.

Dia juga merapatkan diri dengan Uyaina yang memegang watak utama selain mengambil tahu keseluruhan cerita bagi memberikan lakonan yang mantap.

"Saya tengok juga watak lain untuk lebih faham naskhah dan tak bolehlah hanya ambil tahu watak sendiri saja. Saya tak banyak lagi pengalaman lakon, kenalah buat begini. Watak saya sebenarnya menarik. Mula-mula orang ingat dia jahat tapi ada sebab dia buat demikian.

"Alhamdulillah setakat ini respon peminat amat baik. Ramai yang kata gandingan saya dan Ikhram 'sweet'. Ini kali pertama saya buat watak bercinta," katanya.

Zeera mengakui lega mendapat tindak balas positif daripada peminat selain berpuas hati kerana dapat memberikan lakonan yang disukai penonton.

TERPAKSA meninggalkan kerjaya pramugari akibat Covid-19.
TERPAKSA meninggalkan kerjaya pramugari akibat Covid-19.

"Saya rasa lega tak kena kecam dengan penonton. Maklumlah slot Megadrama bukan calang-calang. Ramai yang baru perasan kehadiran saya dalam lakonan.

"Yang kelakarnya, ada juga ingat saya adik kepada Neera. Tak boleh salahkan mereka juga kerana memang dia yang terlebih dulu berlakon. Saya tak kisah pun kerana sekurang-kurangnya orang sedar kewujudan saya dalam industri lakonan," katanya.

Bercakap mengenai aktiviti terkini, Zeera berkata, dia sepatutnya memulakan penggambaran untuk sebuah drama Mei lalu.

"Saya bawa watak kedua untuk drama yang bakal ditayangkan di TV Okey. Penggambaran akan dibuat di Kelantan. Memandangkan kita masih dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1, saya kenalah bersabar.

"Lagipun semua orang terkesan dengan apa yang berlaku. Apapun saya tetap kena pilih juga watak lakonan. Kenalah tengok mana yang bagus dan disiarkan di stesen mana yang boleh tonjolkan saya.

"Kalau main ambil saja nanti orang kata saya main ambil walaupun watak biasa-biasa. Namun saya tak kisah berlakon bawah arahan mana-mana pengarah," katanya.

Zeera juga inginkan watak mencabar seperti individu psiko sekiranya diberikan peluang.

"Saya suka tengok cerita psiko thriller dan selalu terfikir seronok juga kalau dapat watak begini," katanya yang mengakui seorang yang ceria dan suka berpakaian ringkas jika tiada aktiviti seni.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 7:00 AM