Shuk Sahar
Shuk Sahar
Syafil Syazwan Jefri


"Lambat lagi kot,". Demikian kata ringkas pelawak dan pengacara, Shuk Sahar ketika ditanya mengenai hantaran isterinya, Rossalennah Natassyiah Asshaferah di media sosial, yang memberi keizinan untuk dia berkahwin dua.

Shuk yang menjawab pertanyaan itu dalam program Melodi yang disiarkan di TV3 berkata dia faham konteks ayat yang ditulis oleh isterinya itu.

"Dia sebenarnya begini, dalam konteks isteri saya sebenarnya dia bukan cakap kalau nak pergi kahwin lagi, pergilah.

"Maksud dia itu, saya faham. Dia cakap begitu sebab di masa akan datang, tak mahu berlaku lagi benda-benda yang tak elok ini," katanya.

Tambah Shuk, dia juga tidak terfikir untuk berkahwin lagi kerana lebih memberi tumpuan kepada kerjaya seni  dan perniagaan.

"Saya terus terang. Rasanya buat sementara ini, saya sendiri tak terfikir pun sebab lebih beri tumpuan kepada kerja.

"Nak cari kerja pun tak berapa ada sekarang, dalam pandemik begini. Lebih baik saya fokus kepada perniagaan saya dan juga apa yang saya buat, biar lebih stabil.

"Saya masih belum lagi berada dalam satu keadaan yang stabil untuk berkahwin dua," katanya.

Baru-baru ini, kecoh di media sosial apabila isteri kepada pengacara program I Can See Your Voice Malaysia itu memuat naik beberapa hantaran yang menimbulkan spekulasi mengenai kemelut rumah tangga mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 3:01 PM