FIDA pernah muncul juara Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene.
FIDA pernah muncul juara Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene.
Norhayati Nordin


MENYEDARI ramai orang terkesan dengan situasi pandemik ketika ini, banyak pihak tampil menghulur bantuan keperluan makanan. Begitu juga, pelakon dan ahli perniagaan, Rafidah Ibrahim.

Baru-baru ini, Rafidah atau mesra disapa Fida, 35, berkongsi rezeki dengan beberapa wakil media sebagai ingatan tulus ikhlas di atas sokongan dan kerjasama diberikan selama dia aktif dalam kerjayanya seni dulu.

"Saya mula terbabit dalam kerjaya seni pada 2007 selepas muncul juara dalam program realiti TV, Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene di TV3. Ketika itu, saya memang tiada pengalaman dan hanya berbekalkan minat.

"Alhamdulilah, ada rezeki saya untuk memahat nama dan bakat dimiliki apabila mendapat peluang menjadi pelakon dan pengacara TV. Malah, saya juga cuba beranikan diri menjadi penyanyi," katanya.

Menurut Fida, lebih sedekad dirinya dikenali sebagai anak seni dan meskipun sekarang sudah tidak begitu aktif, banyak kenangan indah yang masih segar diingatannya dan tidak dilupakan.

"Apapun, saya sangat berterima kasih kepada pihak media yang banyak membantu saya dalam kerjaya seni dulu. Dari bermula dengan tiada pengalaman, saya akhirnya dapat mengumpulnya dengan menceburi beberapa bidang seni.

FIDA baru mendirikan rumah tangga dengan Shahzemirpada 5 Mei lalu.
FIDA baru mendirikan rumah tangga dengan Shahzemirpada 5 Mei lalu.

"Hingga kini, saya tidak pernah melupakan kenangan itu. Saya berharap dengan sumbangan diberikan ini dapat membantu serba sedikit. Sekali lagi, saya ucapkan terima kasih," katanya.

Berbicara juga mengenai kerjaya seni, katanya perasaan rindu untuk aktif itu masih ada tetapi tiada rezeki. Malah, dia juga ada perniagaan yang diusahakan. Apapun, pada ketika ini dengan penularan Covid-19, industri hiburan juga terjejas.

Fida yang baru mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Shahzemir Shahzulkarib, 37, pada 5 Mei lalu berkata kini dia juga perlu fokus dan memberi komitmen pada rumah tangga. Katanya, masih banyak yang perlu dipelajari dan diperbaiki lagi.

"Alhamdulillah, saya bersyukur akhirnya dipertemukan jodoh dengan suami selepas 17 tahun juga kami bersahabat baik. Saya dan suami saling mengenali sejak kami belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) dulu.

"Malah, ketika berhadapan dugaan dalam kerjaya seni dulu pun, suami yang banyak membantu saya dan memberi dorongan untuk menceburi perniagaan dengan mengusahakan produk R Secrets," katanya.

Fida yang kini terbabit pula dengan perniagaan makanan sejuk beku, Aris Burger berkata dia menganggap ia adalah rezeki selepas berkahwin. Katanya, apatah lagi dia memang minat berniaga dan ada impian ingin dicapai.

Ketika aktif berlakon dulu, Fida pernah membintangi drama seperti Cinta Tikar Sejadah, Epilog Syurga Cinta, Kasih Alia, Runtun Qalbu, Idris MLM serta Setulus Janji, termasuk filem Kongsi, Man Sewel Datang KL dan Adik Manja Returns.

Selain itu, Fida juga pernah popular dengan dengan lagu Apo Kono Eh Jang 2012 yang dirakamkannya semula bersama kumpulan Stellar dan Datuk AC Mizal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 6:47 AM