Jamal juga membuat aktiviti kebajikan menghulur sumbangan peribadi kepada golongan asnaf dan anak yatim di kawasan itu.
Jamal juga membuat aktiviti kebajikan menghulur sumbangan peribadi kepada golongan asnaf dan anak yatim di kawasan itu.
Ridzuan Abdul Rahman

 

 

Kuala Lumpur: Penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah mengakui kesalahannya melanggar prosedur operasi standard (SOP) serta memohon maaf atas kesilapan dilakukan.

   Menerusi gambar dan video yang tular, Jamal, 62, dilihat makan durian dan berkaraoke di sebuah ladang di Kampung Poh, Bidor, Perak pada Jumaat lalu, sekali gus melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

   "Saya mohon maaf kepada semua rakyat Malaysia. Sama ada salah atau tidak, saya tetap nak minta maaf kerana sepatutnya peka dengan SOP dan situasi semasa pandemik Covid-19.

   "Saya berharap masyarakat di luar sana tidak mencontohi kesilapan saya ini," katanya.

   Jamal turut mempertahankan kehadirannya ke kampung itu bagi mendapatkan baja untuk perniagaan kolam ikan yang diusahakan di Bukit Merah.

   "Bagaimanapun, kebetulan sekarang musim durian dan kawan-kawan yang ada dusun di situ mengajak saya makan durian.

   "Nak menolak takut ada yang berkecil hati, dan anggap saya sombong. Jadi, saya singgah sekejap untuk penuhi pelawaan mereka.

   "Di situ, disediakan pula set karaoke. Sambil makan, saya menyanyi satu lagu sebab dah makan percuma dan rasa macam tak seronok pula kalau tak belanja lagu walaupun, saya bukan kaki karaoke," katanya. 

   Menurutnya sepanjang Bidor, Tapah dan Gopeng, dia mempunyai kawan-kawan yang ada dusun durian dan mereka tidak ketinggalan mempelawanya makan durian di kawasan berkenaan.

   "Susah juga dibuatnya kerana hati kawan-kawan perlu dijaga. Memang agak serba-salah. Apapun saya sudah memberi keterangan di Balai Polis Tapah, petang semalam dan perkara ini dalam siasatan. 

   "Saya bagi kenyataan sebenar dan tiada yang diselindungkan. Polis pun sudah melawat kawasan kejadian untuk menjalankan siasatan," katanya yang menyerahkan kepada pihak berkuasa berkenaan denda yang dikenakan. 

   Mengulas segelintir pihak yang mempertikaikan surat kebenaran merentas negeri terhadapnya, Jamal berkata, ikan-ikan kelisa peliharaannya perlu dipantau dan diberi makan.

   "Kalau dibiarkan tiada makanan, ikan-ikan ini pasti mati. Saya sendiri yang biasanya beli makanan ikan di Kuala Lumpur dan beberapa lokasi lain untuk dihantar ke sana," katanya.

   Dalam perkembangan lain, Jamal turut melakukan kerja-kerja kebajikan apabila berada di Bukit Merah.

   Dia menyumbangkan 200 barangan keperluan dapur untuk golongan asnaf dan anak yatim serta penduduk kampung Parit Haji Aman, Bagan Serai Perak pada Sabtu lalu. 

   Ia adalah sumbangan peribadi kali kedua dibuat Jamal kepada golongan asnaf dan anak yatim sekitar daerah Kerian dan Parit Buntar.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 12:00 PM