KID antara yang terlibat dalam Konsert Unplugged Search 40 Years.
KID antara yang terlibat dalam Konsert Unplugged Search 40 Years.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Konsert Unplugged Search 40 Years tetap akan diteruskan seperti yang sudah rancang.

Penganjur dari COF Music, Aman Nassim berkata, pihaknya sudah membuat persiapan dan menunggu lampu hijau daripada kerajaan berhubung penganjuran acara persembahan menerusi fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Kita memang akan teruskan konsert dan ikut apa yang sudah dirancang. Cuma sekarang kita kena ikut prosedur operasi standard (SOP) kerajaan iaitu menerusi PPN yang mengandungi empat fasa.

"Buat masa sekarang pun belum ada sebarang pengumuman yang memberitahu aktiviti persembahan, acara atau konsert boleh dibuat. Namun, jika mengikut PPN, fasa empat iaitu pada November atau Disember. Jadi kita kena tunggu. Jika fasa itu boleh buat acara dan persembahan, kita akan buat," katanya.

Aman berkata, pihaknya juga sudah berbincang dengan pemain gitar Search, Noordin di mana konsert itu akan tetap diteruskan dan mengikut saranan kerajaan.

Dalam masa sama, Aman berkata, pihaknya akan sentiasa mengambil kira soal keselamatan dan kesihatan orang awam.

"Sekarang pun sudah ramai rakyat terima vaksin. Malah, ini adalah jalan terbaik untuk semua bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.

"Kami di pihak penganjur juga perlu ambil langkah berjaga-jaga dan tidak mahu menjadi punca wujudnya kluster baharu. Disebabkan itu kita ikut saranan kerajaan. Kalau fasa empat adalah paling sesuai, kita akan buat.

"Ketika itu juga dijangkakan 80 peratus rakyat sudah terima vaksin. Jadi, kita memang sentiasa bersedia saja," katanya.

Selain Noordin dan Kid selaku pemain gitar, Search kali menampilkan Akim Ahmad sebagai penyanyi, Pae (dram) dan Galang (bass).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 6:06 PM