ELYANA. FOTO IG Elyana
ELYANA. FOTO IG Elyana
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Elyana Emrizal, 34, yang sudah lima hari menjalani rawatan radioterapi kerana penyakit kanser limfoma tahap empat dihidapinya masih lagi memerlukan bantuan oksigen untuk bernafas.

Elyana yang pernah popular dengan lagu Kalis Rindu dan ibu kepada dua anak perempuan ini sudah bertarung melawan penyakit kansernya sejak 10 tahun lalu. 

Menurut Elyana yang dihubungi berkata dia bersyukur selepas beberapa hari menjalani rawatan radioterapi itu, keadaan kesihatannya terkawal.

"Alhamdulillah, kesihatan saya masih terkawal. Cuma, sekarang ini saya kena selalu guna bantuan oksigen sebab pernafasan belum  okay lagi. Ditambah, saya pun ada batuk.

"Setakat ini, saya juga masih lagi dibekalkan satu pek susu untuk dimasuk ke dalam badan selama 16 jam kerana berat badan saya yang kurang sebanyak 35 kilogram. Jadi, susu ini sangat membantu untuk saya bertenaga.

"Selain susu, saya turut dibekalkan oleh doktor ubat tambah selera makan untuk memastikan berat badan dapat bertambah. Maklumlah, saya sekarang tinggal tulang dengan kulit saja sebab dah tak ada isi sangat," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, pada 16 Jun lalu Elyana menerusi bual bicara langsung di Instagram memaklumkan dia nekad menjalani rawatan radioterapi itu untuk kesembuhan penyakit kansernya demi keinginan mahu terus bermain bersama anak-anak.

Menurut Elyana, dia perlu melakukan rawatan radioterapi berkenaan sebanyak 10 sesi dan harus menghadapinya dengan cekal hati berikutan berat badan yang semakin merosot.

"Walau apapun cabarannya, saya akan cuba harungi kerana nak sembuh dan sihat demi anak-anak. Saya masih lagi nak bermain-main dengan mereka dan saya tak mahu terbaring saja kerana rasa lemah dan cepat penat.

"Selain itu, doktor pun tahu yang saya taknak melakukan kimoterapi kerana rawatan itu membuat saya bertambah sakit dan jadi lemah. Oleh itu, saya buat keputusan untuk rawatan radioterapi saja," katanya.

Sepanjang berada di hospital untuk rawatannya, Elyana kini kelihatan semakin bertenaga. Selain itu, dia juga banyak mendapat hadiah dan kata-kata semangat daripada keluarga, rakan artis dan peminat setianya.

Elyana yang rajin membuat bual bicara langsung di Instagram untuk berkongsi keadaan terkini kepada pengikut dan peminatnya, turut berterima kasih pada semua orang yang banyak mendoakan kesembuhan buat dirinya.

Terdahulu, Elyana membuat pendedahan dia menghidap kanser limfoma tahap empat pada 2017 lalu. Bernikah dengan ahli perniagaan Khairul Anuar Husin pada 2010 dan mereka dikurniakan anak perempuan Cinta Sumayyah, 10, serta memiliki anak angkat, Cahaya Ramadhani, kini berusia dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 5:41 PM