Rody Kristal serta keluarga adiknya positif Covid-19. FOTO Instagram
Rody Kristal serta keluarga adiknya positif Covid-19. FOTO Instagram
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Gitaris kumpulan Kristal, Rody berkongsi dirinya disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan virus itu, semalam.

Rody atau nama sebenarnya Mohd Rodi Baharudin, berkata dia dijangkiti daripada adik iparnya, Adi Adli yang mengalami demam selama tiga hari dan kemudian disahkan positif wabak itu.

Selain Rody, turut positif adalah adiknya yang juga isteri Adi serta anak mereka.

"Jangkitan itu berlaku disebabkan saya dan keluarga kini menetap di rumah ibu bapa, sejak dua bulan lalu. Saya lakukan ujian calitan itu selepas menjadi kontak rapat adik ipar yang juga disahkan positif.

"Dia sudah tiga hari alami demam dan sah positif Covid-19 selepas melakukan ujian. Adik saya dan anak mereka juga positif. Mereka sekeluarga memang duduk bersama ibu bapa saya.

"Kebetulan, saya juga menumpang di rumah ibu bapa saya buat masa ini," katanya.

Rody bagaimanapun bersyukur isteri, anak, dan ibu bapanya tidak dijangkiti virus itu. Dia juga berkongsi, ada mengalami simptom sebelum melakukan ujian calitan berkenaan.

"Alhamdulillah, keputusan calitan isteri, anak dan ibu bapa saya negatif dan mereka kini tinggal di rumah saya. Manakala, saya kuarantin di rumah ibu bapa bersama adik, suaminya dan anak mereka.

"Saya ada mengalami sakit kepala dan badan menggigil pada waktu malam sebelum melakukan ujian calitan itu. Masa dapat tahu adik dan suaminya positif Covid-19, saya okay. 

"Tapi pada sebelah malam, barulah mula batuk, nak tidur pun tak selesa sebab berpeluh dan badan menggigil. Keesokannya rasa tak sedap badan, dan saya terus pergi klinik buat ujian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 5:56 PM