Wany Hasrita
Wany Hasrita
Oleh Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi popular, Wany Hasrita, 29, mengakui dia juga tidak terlepas berhadapan masalah pendapatan terjejas berikutan penularan Covid-19 sejak lebih setahun lalu.

Wany berkata, ketika ini sesiapa sahaja berhadapan masalah berkaitan sumber pendapatan, namun perlu tahu menguruskannya dengan betul.

"Saya pun tak terlepas daripada perkara itu (terjejas pendapatan). Jadi, kita memang kena banyak-banyak berjimat. Saya pun sebenarnya masih lagi berkira-kira mengenai kewangan. Maksudnya, macam mana nak kecilkan komitmen bulanan sebab kita yang bekerja dalam industri hiburan ini pun bukan menerima gaji tetap.

"Sebenarnya komitmen masih lagi bersusun-susun, cuma bila dapat sekali banyak itu (bayaran) jangan beriya-iya sangat berbelanja. Saya sekarang sangat berhati- hati dan memilih lebih bersederhana dalam segala hal," katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah berkata, dia tetap bersyukur rezekinya dalam kerjaya seni masih dimurahkan Allah SWT.

Katanya, kini dia juga mahu mencuba semua bidang.

Selain menyanyi, Wany sebelum ini pernah mengembangkan bakatnya dalam lakonan dengan membintangi telefilem bersama penyanyi Haqiem Rusli dan Tajul Ariff tetapi cintanya pada bidang lakonan belum ada.

Namun, minat dalam bidang pengacaraan semakin mendalam selepas dia terbabit dalam mengacara beberapa program TV pada Ramadan lalu.

Wany berkata, dia juga menyimpan impian untuk menjadi pengacara program TV seperti Nona dan Wanita Hari Ini (WHI), namun dia perlu belajar banyak perkara lagi serta menimba pengalaman.

"Sekarang, sebagai langkah permulaan biarlah saya terbabit mengacarakan program TV yang kecil dahulu untuk mempersiapkan diri sebelum berani menyahut cabaran lebih besar, pada masa akan datang jika berpeluang," katanya.

Berbicara mengenai lagu baharu, Wany berkata, dia akan muncul dengan single berjudul Pedas yang menampilkannya berduet dengan Sophia Liana yang juga anggota De Fam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 4:13 PM