SYAZUWAN
SYAZUWAN
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Semuanya ada batas. Saya sudah cukup bersabar, awak boleh memaki-hamun sebanyak mana pun tetapi jangan melampaui batas."

Demikian tegas pelakon Syazuwan Hassan mengenai dakwaan dia bersikap curang seperti ditulis seorang wanita yang dikatakan bekas kekasihnya dikenali sebagai Adora di media sosial sehingga tular baru-baru ini.

Syazuwan berkata, kisah yang dibongkar wanita terbabit tidak membuatkan dia takut kerana percaya keluarga dan sahabat mengenali dirinya dan berada bersamanya.

"Saya ada keluarga dan kawan-kawan yang sentiasa berada di pihak saya. Itu saja yang saya perlukan dan saya bersyukur. Saya tahu sebab-musababnya tetapi saya tak perlu mendedahkan atau membongkarkan kisah itu. Saya tak perlu menjelaskannya," katanya.

Menurut Syazuwan, dia juga mempunyai jawapan tersendiri dan enggan menjelaskan lebih terperinci kerana menganggap ia hal peribadi yang tidak perlu dikongsikan kepada umum.

"Ini cara saya untuk menguruskan hal peribadi saya dan rasanya orang luar tak perlu tahu. Saya juga tidak perlukan simpati, jadi saya tak perlu mempertahankan apa-apa," katanya.

Terdahulu wanita dikenali Adora tampil bersuara mengenai hubungan yang dibina bersama Syazuwan selama 11 tahun putus di tengah jalan.

Dia mendakwa punca perpisahan mereka ada kaitan dengan hubungan Syazuwan dengan pelakon yang sedang meningkat naik, Wafariena Roslan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 2:19 PM