DARLING rajin turun padang di lokasi drama terbitannya.
DARLING rajin turun padang di lokasi drama terbitannya.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman 

 

Kuala Lumpur: Selepas sedekad tidak menghasilkan produk drama untuk TV3, penerbit dan pelakon, Darling Ngasri tampil dengan telefilem berjudul Fateema Azzahra yang akan ditayangkan jam 11 pagi, esok.  

Drama arahan Amor Rizan itu menampilkan lakonan Azlee Khairi, Azhan Rani, Elisya Sandha, Shah Iskandar, Nor Aliah Lee, Iman Suhana, adik Syed Irfan, Aidil Aziz dan Datin Anne Ngasri. 

Darling berkata, sebelum ini dia pernah menghasilkan drama berjudul Cinta Vlog, Aku Bukan Malaikat, Ampunkan Dosaku dan banyak lagi untuk untuk slot cerekarama di TV3. 

"Saya ada hantar kertas kerja tapi tiada rezeki. Alhamdulillh kali ini nampaknya berjaya. Lagipun kita tak pernah lagi ada telefilem mengenai anggota bomba dan ini menarik. Matlamat saya nak naikkan imej Jabatan Bomba dan Penyelamat yang selalu dipandang sepi segelintir pihak," katanya. 

Darling atau nama sebenarnya Nasreen Ngasri berkata, hasrat untuk menghasilkan telefilem ini turut disambut baik Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid. 

"Alhamdulillah, dia menyokong. Saya beri kepercayaan kepada Amor sebagai pengarah kerana dia berjaya wujudkan emosi dalaman yang kuat untuk drama ini. 

"Kami cuba buat yang terbaik. Harap-harap saya dapat peluang untuk berkarya sama ada dalam episod atau seterusnya dengan TV3. Ia juga projek pertama Pelaksana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di bawah Dana Kandungan Digital (DKD) dengan TV3," katanya. 

Menurutnya, idea asal drama Fateema Azzahra dicetuskan oleh Azzahra. 

"Kami terbabit dalam satu drama radio dan dia kata sudah lama tak bekerja dengan produksi saya. Jadi saya tanya siapa penulis skrip dan dia perkenalkan dengan Haida Mazni. Maka lahirlah drama ini. Saya nak cari tajuk yang ada unsur simbolik. Saya pilih tajuk ini kerana keberanian Fateema Azzahra, puteri kepada Rasulullah SAW.  

"Dia juga antara insan yang memberi semangat kepada baginda Rasulullah. Fateema Azzahra yahg dilakonkan Elisya adalah wanita yang kuat berdepan dugaan," katanya. 

Ia mengisahkan Afnan (Azlee Khairi) seorang anggota bomba yang kehilangan sahabat baiknya Muin (Shah Iskandar) yang terkorban dalam kebakaran ketika sedang bertugas.  

Sejak kehilangan Muin, Afnan mula dibayangi kenangan dan memori bersama arwah Muin yang juga sahabatnya sejak kanak- kanaknya itu yang bersungguh-sungguh memperkenalkan Afnan dengan Fateema Azzahra yang menjadi isterinya. 

Afnan amat mencintai Fateema walaupun bapa Fateema, Datuk Esmail membenci anggota bomba akibat satu sejarah silam. 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 1:56 PM