WANY hasrita.
WANY hasrita.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Pada awalnya, memang tak beritahu ibu pun," kata penyanyi popular Wany Hasrita, 29, berhubung kenyataan ibunya, Norita Jaafar yang terkejut selepas mengetahui foto anaknya disalahgunakan untuk tujuan tidak bermoral.

Wani ketika dihubungi berkata, dia sudah menjelaskan perkara itu kepada ibunya selepas membuat perkongsian mengenai video tidak senonoh yang tular itu di Insta Story.

"Sejak saya mula keluarkan video itu di Insta Story, saya beritahu ibu juga dan dia pun sangat tenang mendengar segala penjelasan yang dibuat.

"Apapun, saya bersyukur kerana ramai yang sayang serta menolong saya membuat laporan kepada Twitter terhadap video dan akaun itu," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai tindakan selanjutnya yang akan diambil, Wany berkata, dia kini lebih berhati-hati dan menjaga diri seperti pesanan sering dititipkan ibunya.

"Mungkin saya yang perlu kawal setiap gambar nak dimuat naik di media sosial. Kita manusia akhir zaman, akan tetap wujudnya orang yang tak sihat begini.

"Walaupun, foto yang saya kongsikan itu sudah tutup apa yang sepatutnya ditutup, tidak menampakkan sebarang bentuk pun, tapi masih menjadi bahan juga.

"Apapun, saya doa yang baik-baik saja semoga tidak terkena lagi benda-benda begini baik pada diri sendiri mahupun semua wanita lain di luar sana," katanya.

Baru-baru ini, tersebar video di Twitter membabitkan seorang lelaki mengguna foto Wany Hasrita untuk memuaskan nafsu dan dikongsikan di media sosial.

Namun, Wany yang mengetahui perkara itu tampil meminta orang ramai membantunya membuat laporan kepada pihak Twitter untuk dipadamkan.

Video berkenaan sudah pun dipadamkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 4:33 PM