MUAZ Fitri rai Aidilfitri tahun ini secara sederhana.
MUAZ Fitri rai Aidilfitri tahun ini secara sederhana.
Norhayati Nordin


MELAKONKAN watak antagonis dalam drama Takdir Yang Tertulis, ternyata sangat membantu pelakon meningkat naik dikenali, Muaz Fitri untuk memahat bakat seni dimilikinya.

Muaz, 30, yang benar-benar mahu serius dalam kerjaya lakonannya memaklumkan dia tidak bersikap terlalu memilih watak kerana baginya setiap karekter mempunyai kekuatan tersendiri.

"Sebagai pelakon, saya yang kena bijak dan kreatif mempelbagaikannya. Justeru, saya akan memahami tuntutan watak itu serta membuat perbincangan dengan pengarah. Saya juga sedia ditegur dan tak malu menerima teguran.

"Bagi saya, teguran penting dan sebagai proses menimba ilmu. Justeru, saya bersikap terbuka untuk terima apa saja teguran kerana sentiasa mahu memberi yang terbaik dalam lakonan. Bukan mudah mendapat peluang," katanya.

Berbicara juga mengenai Aidilfitri, Muaz berkata sebagai semestinya dia merindui kampung halaman. Terutama, sanak saudara di kampung. Tapi, sayangnya pandemik ini belum berakhir.

"Sambutan hari raya ini, saya raikan secara sederhana saja. Maklumlah, tak boleh nak merentas negeri dan daerah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan semula oleh kerajaan.

"Saya mengambil positif saja apa yang masih berlaku ini kerana menganggap ia dugaan daripada Allah. Saya harap kita semua peka menjaga kesihatan diri. Mencegah adalah lebih baik," katanya.

Muaz yang turut membintangi beberapa drama antaranya, Cinta Kalut berkata dia juga bersyukur dengan rezeki tawaran berlakon diterimanya. Apapun, katanya dia juga mula membabitkan diri di dalam perniagaan pakaian.

Mengulas kenangan Aidilfitri, Muaz berkata ia sudah pasti memori indah zaman kanak-kanaknya. Katanya, kegembiraan ketika itu apabila bermain bersama rakan-rakan sebaya di kampung.

"Zaman kanak-kanak saya dahulu, alhamdulillah masih belum ada gadjet. Jadi, saya selalunya akan bermain dengan rakan sepuas- puasnya di luar rumah.

"Bagi saya, ia pengalaman meraikan hari raya sangat sempurna. Termasuk, pergi ke masjid bersama ayah untuk solat sunat hari raya. Memang seronok sangat," jelasnya.

Kenangan Aidilfitri ketika dikelilingi keluarga, bagi Muaz sangat dirasai kegembiraan dan kebahagiaannya. Ujarnya, antara aktiviti dilakukan seperti membersih kawasan rumah

di kampung datuk dan nenek bersama-sama saudara-mara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 6:28 AM