NAMA Michael B Jordan antara yang disebut bawa watak ikonik itu. FOTO Instagram Michael B Jordan
NAMA Michael B Jordan antara yang disebut bawa watak ikonik itu. FOTO Instagram Michael B Jordan
Agensi :

Los Angeles: Buat julung kalinya, filem Superman akan datang bakal menampilkan watak utama dan pengarah berkulit hitam, manakala skripnya ditulis Ta-Nehisi Coates yang juga penulis komik Wakanda terbitan Marvel.

Bagaimanapun, watak utama serta pengarah yang menggalas tanggungjawab itu belum diputuskan siapa. Difahamkan, sudah ada beberapa calon bagi membawa watak ikonik itu antaranya Michael B Jordan.

Jordan dikatakan ada terbabit dalam penghasilan filem Superman berkulit hitam sejak 2019.

Jordan bagaimanapun menafikan dia bakal membintangi filem itu.

"Saya sangat terharu apabila menjadi perbualan ramai. Semestinya ia satu penghormatan buat saya tetapi saya cuma akan jadi penonton untuk filem ini," katanya.

Wujud juga khabar watak utama Superman kulit hitam pertama itu akan diberikan kepada pelakon tidak dikenali.

Ia sebagaimana dilakukan untuk Superman Returns pada 2006 di mana Brandon Routh dipilih memegang watak itu.

Filem terakhir menampilkan adiwira terbabit adalah pada 2017 menerusi Justice League di mana watak Superman digalas pelakon serba boleh, Henry Cavill.

Untuk cadangan pengarah pula, beberapa nama disebut termasuk Barry Jenkins, Ryan Coogler, Steven Caple Jr, JD Dillard, Regina King dan Shaka King.

Untuk rekod, selain Routh dan Cavill, watak Superman selama ini cuma menampilkan pelakon kulit putih seperti George Reeves, Dean Cain, Tom Welling, Christopher Reeve dan Tyler Hoechlin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 12:02 PM