Farisha Irwayu
Farisha Irwayu
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pengarah drama bersiri Kiblat Yang Hilang, Azri Izhar, 48, menyifatkan insiden tiga pelakonnya iaitu Farisha Irwayu, Sweet Qismina dan Laila Nasir positif Covid-19 berlaku secara kebetulan.

Azri berkata, kontak paling rapat dengan Farisha ialah pelakon Wafariena dan dia tidak dijangkiti virus berkenaan.

"Saya juga sudah hubungi pelakon lain bertanyakan keadaan mereka dan semuanya kata okay. Sebelum menjalani penggambaran drama ini, semua pihak sudah melakukan ujian swab sebanyak tiga kali. Penggambaran juga sudah tamat sejak dua minggu lalu," katanya kepada Harian Metro.

Azri berkata, kemungkinan jangkitan itu berpunca daripada orang luar yang kebetulan turut menyertai penggambaran itu.

"Agak pelik kerana ramai juga yang rapat dengan Farisha, tapi tidak dijangkiti," katanya.

Mengulas lanjut, Azri memberitahu semua pelakon tambahan yang dihubungi mengesahkan mereka tiada sebarang jangkitan.

Dalam pada itu, Azri turut menafikan penolong pengarah, Nazlinda Yusof yang turut disahkan positif mendapat jangkitan daripada produksi drama itu.

"Dia mendapat jangkitan ketika menyertai satu program lain sebelum itu. Dalam program itu, dia duduk bersebelahan individu yang positif Covid-19," katanya.

Sementara itu, Farisha, 52, yang kini menjalani proses kuarantin di Pusat Kuarantin Maeps, Serdang memaklumkan dia mula mengalami demam selepas pulang dari penggambaran Kiblat Yang Hilang.

Menurutnya, sebaik penggambaran di Pangsun, Hulu Langat, Selangor tamat pada 7 April, dia terus pulang ke rumah.

"Itu adalah babak terakhir membabitkan saya. Ia babak Sweet Qistina bertunang dengan anak saya. Seingat saya ada dalam 23 orang yang turut serta.

"Tak tahu dari mana datangnya mereka kerana saya hanya kenal pelakon utama. Yang lain keluar masuk, keluar masuk ke situ.

"Balik dari situ saya terus demam, badan seram sejuk dan batuk-batuk. Saya biarkan dan suami beli ubat batuk di farmasi," katanya.

Menurutnya, walaupun memakan ubat, tetapi batuknya semakin teruk dan dia seterusnya hilang deria bau dan membuat keputusan menjalani ujian swab sebelum disahkan positif.

"Saya dimasukkan ke Maeps pada 18 April lalu. Virus dalam darah merebak ke kiri dan kanan paru-paru serta belakang. Air garam terpaksa dimasukkan sebanyak empat botol kerana tekanan darah sangat rendah. "Paling teruk ialah batuk. Namun, masuk hari kesembilan hari ini batuk semakin berkurangan dan tekanan darah semakin stabil. Tetapi, kuman dalam paru-paru masih ada," katanya yang akan berada selama 14 hari di pusat kuarantin itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 5:05 PM