Anak tiri Datuk Seri Siti Nurhaliza, Asyraf Khalid bersama isterinya, Tya Ariffin. FOTO Instagram
Anak tiri Datuk Seri Siti Nurhaliza, Asyraf Khalid bersama isterinya, Tya Ariffin. FOTO Instagram
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Kami sudah minta maaf pada Mak Iti (Siti)," kata anak tiri penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Asyraf Khalid dan isterinya, Tya Ariffin.

Ia susulan tindakan pasangan itu memuat naik video di Instagram dan laman YouTube yang memaparkan suasana di hospital tempat Siti bersalin pada 19 April lalu sehingga menimbulkan perdebatan mengenai isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan netizen.

"Kami berdua sudah berhubung dengan Mak Iti menerusi Whatsapp dan panggilan telefon. Kami juga sudah meminta maaf kepadanya. Alhamdulillah hubungan kami baik-baik sahaja.

"Cuma, Mak Iti berpesan, jadikan perkara ini sebagai iktibar pada masa akan datang," kata mereka.

Dalam pada itu, Asyraf berkata dia dan Tya akan bertemu dengan Siti pada hujung minggu ini.

"Insya-Allah, kami akan bertemu dengan Mak Iti dan ayah pada minggu ini. Kami juga ingin meminta maaf kepada semua jika isu ini ada mengguris hati banyak pihak. 

"Apa yang terjadi bukan salah Mak Iti. Salah itu datang daripada kami. Kami berharap agar isu ini tidak dipanjangkan dan Mak Iti dapat berpantang dengan tenang," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Asyraf bersama individu lain sudah mendapat kebenaran pihak hospital selain patuh dengan SOP ditetapkan sepanjang berada di hospital tempat Siti bersalin.

Bagaimanapun, video berkenaan sudah dipadam di Instagram dan saluran YouTube Tya Ariffin Family.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 8:24 PM