TIGA pelakon positif Covid-19 (dari kiri) Farisya Irwayu, Laila Nasir dan Sweet Qismina.
TIGA pelakon positif Covid-19 (dari kiri) Farisya Irwayu, Laila Nasir dan Sweet Qismina.
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Tiga pelakon iaitu Laila Nasir, Sweet Qismina dan Farisha Irwayu serta seorang penolong pengarah disahkan positif Covid-19 selepas menjalani penggambaran drama bersiri Kiblat Yang Hilang di Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini.

Turut disahkan positif ialah penolong pengarah drama terbabit yang dikenali sebagai Nazlinda Yusof.

Laila ketika dihubungi berkata, dia disahkan positif Covid-19 semalam selepas dimasukkan ke pusat perubatan di Ampang petang semalam akibat muntah-muntah.

"Saya sakit kepala, letih dan lemah seluruh badan serta batuk yang tak berhenti. Sejak masuk hospital petang semalam pula asyik muntah-muntah. Makan pun tak berselera," katanya.

Laila berkata, dia terbabit dengan penggambaran drama itu di Pangsun, Hulu Langat pada 7 April lalu.

Katanya, ketika penggambaran dia bersama Sweet dan Farisya tinggal serumah dan sebelum penggambaran dimulakan, mereka mengikuti segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Tak tahulah bagaimana ia boleh terjadi. Apabila Ayu (Farisha) masuk ke set penggambaran, esoknya dia beritahu dia demam.

"Bagaimanapun, dia tidak melakukan ujian swab, tetapi hanya melakukannya selepas seminggu dan disahkan positif Covid-19.

Laila berkata, dia mengalami demam sejak 10 April lalu. Selepas tamat penggambaran pada 12 April demamnya terus berlarutan hingga semalam.

Menurutnya, dia dibawa ke hospital oleh anaknya petang semalam untuk dirawat dan melakukan ujian swab.

Selasa lalu, Sweet menerusi Instagram memaklumkan dia disahkan positif Covid-19.

Dia yang berada di Kuala Kangsar untuk penggambaran filem Tariandi sejak 15 April lalu menyatakan berasa tidak sihat pada 16 April.

Dia membuat ujian swab RTK di sebuah pusat perubatan di Taiping disahkan positif virus itu, Selasa lalu.

Sweet kini berada di pusat kuarantin.

Farisha pula mengesahkan dia positif Covid-19 sejak lima hari lalu dan kini berada di Pusat Kuarantin MAEPS Serdang.

Suaminya, Tuan Asmawi Tuan Umar yang juga kontak rapatnya turut disahkan positif virus itu.

Sementara itu, cuba Harian Metro menghubungi penerbit drama berkenaan berhubung perkara ini tidak berjaya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 6:02 PM