Sweet Qismina
Sweet Qismina
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Tuhanku, Tuhan manusia, hilangkanlah penyakit. Berikanlah kesembuhan kerana Kau adalah penyembuh.

"Tiada yang dapat menyembuhkan penyakit kecuali Kau dengan kesembuhan yang tidak menyisakan rasa nyeri."

Demikian tulis pelakon, Sweet Qismina di Instagram memaklumkan dia disahkan positif Covid-19.

Dalam hantaran sama, Sweet turut berkongsi kenyataan rasmi daripada pihak pengurusannya, Warner Music Malaysia mengenai keputusan ujiannya yang diterima pada 20 April lalu.

"Sweet yang berada di Kuala Kangsar untuk menjalani penggambaran filem Tariandi sejak 15 April lalu menyatakan berasa tidak sihat pada 16 April.

"Sweet mengambil ubat selama tiga hari berturut-turut tetapi keadaan Sweet masih belum pulih dan sukar untuk bernafas.

"Menyedari keadaan itu, Sweet mengambil langkah untuk membuat ujian calitan RTK di Hospital Columbia Taiping dan keputusannya adalah positif," tulis kenyataan itu.

Warner dalam kenyataan itu berkata, Sweet kemudiannya menjalani ujian saringan PCR sebelum dihantar ke pusat kuarantin.

"Sweet dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dikuarantin dan melakukan saringan PCR dan keputusan saringan adalah positif.

"Sweet kemudiannya dihantar ke Pusat Kuarantin di Ipoh untuk dikuarantin. Keadaan semasa Sweet sekarang tidak mempunyai sebarang komplikasi, cuma hilang deria rasa dan bau," katanya.

Dalam hantaran sama, Sweet turut memuat naik foto terbarunya di pusat kuarantin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 10:39 PM