Azhan Rani
Azhan Rani
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur:  Gara-gara bengang dan geram apabila melihat abang dan kakaknya mendapat banyak kad raya di sekolah, pelakon Azhan Rani mengaku dia pernah membeli kad raya sendiri dan kemudian, dikirimkan ke alamat rumahnya.

Azhan, 45, yang berkongsi kenangan lucu berkenaan, berkata ketika itu dia masih bersekolah rendah. Ujarnya apabila Ramadan hingga menjelang Aidilfitri, dia sangat teruja dan ingin menerima kad ucapan hari raya sebagaimana abang dan kakaknya.

"Dulu apabila nak sambut hari raya, kebanyakan orang saya tengok suka hias rumah mereka dengan menggantung kad raya di pokok atau tampal kad raya itu di dinding dan ia memang nampak cantik.

"Jadi, saya pun teringin nak gantung kad raya sendiri di pokok juga. Apatah lagi, ketika itu di sekolah pula sesiapa lelaki kacak dan gadis cantik mesti akan dapat banyak kad raya dari peminat dalam kelas mereka atau kelas lain. Tapi, saya pula tak ada peminat.

"Di rumah, kakak dan abang, masing-masing asyik menayang kad raya mereka dan saya tengok pun 'stress'. Jadi, demi nak puaskan hati, saya beli kad raya sendiri dan pos ke rumah," katanya berkongsi cerita lama ketika kanak-kanak kepada Harian Metro.

Menurut Azhan, perasaannya sangat seronok ketika itu apabila melihat posmen datang rumah dan menyebut namanya pada kad raya yang dikirim berkenaan. Ujarnya, kenangan itu hingga kini tak dapat dilupakan.

"Bila saya ingat semula kenangan ini, memang kelakar sebab saya sanggup bertindak begitu, rasa macam seolah-olah ada peminat di sekolah. Pada hal, saya yang beli sendiri kad raya itu untuk puaskan hati.

"Apapun, mungkin ada juga orang lain buat macam saya yang sanggup bila kad raya sendiri ketika di sekolah dahulu. Cuma, sekarang keadaan dah berubah, apabila kad ucapan hari raya pun dikirim menerusi telefon.

"Kadang-kadang, rindu jugalah kenangan lama macam ini. Tapi, pada masa sama kita memang tak boleh menolak perkembangan teknologi yang berlaku apabila sekarang semuanya ada di hujung jari dan lebih mudah," katanya.

Terdahulu, Azhan yang cukup dikenali dengan watak Ustaz Hamadi dalam drama Nur juga ada berkongsi cerita dia pernah hilang di Puduraya ketika keluar membeli-belah persiapan Aidilfitri bersama keluarganya, ketika masih kanak-kanak.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 10:00 AM