Ziela Jalil.
Ziela Jalil.
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Itu bukan dalam bidang kuasa kita kerana itu kisah zaman jahiliah. Semua orang ada kisah silam," kata penerbit dan pelakon Datuk Ziela Jalil mengulas isu gambar-gambar lama dan filem lakonannya ketika belum berhijrah yang mudah diperolehi.

Ziela, 51, mengakui agak sukar memberikan komen terhadap isu berkenaan kerana bimbang menyentuh sensitiviti banyak pihak.

"Saya tak boleh komen banyak. Tapi saya sudah lama dalam industri. Saya sendiri pun di rumah letakkan gambar tak berhijab.

"Sekarang semuanya di hujung jari. Bila Google memang akan keluar gambar-gambar kita. Jadi susahlah untuk kita bercakap tentang hukum.

"Namun kita tak boleh mengiyakan benda yang salah. Tapi kita tak boleh hentikan kerana bukan kuasa kita untuk hentikan tayangan atau larang mana-mana pihak samada panggung, tv atau Youtube untuk tayangkan. Bukan hak kita," katanya kepada Harian Metro.

Ziela berkata, dia mengambil pendekatan mengutamakan dirinya daripada memikirkan apa yang dibuat oleh pihak lain.

"Saya sekarang dah berhijrah. Jadi saya bertaubat minta keampunan Allah dan yang selebihnya serahkan kepadaNya untuk menilai.

"Sebabnya soal hukum hakam bukan di tangan kita. Kita tak boleh nak hentikan tindakan orang. Kena yakin Allah maha pengampun," katanya.

Dalam perkembangan lain Ziela berkata syarikatnya, Pena Creative Pictures Sdn Bhd akan menerbitkan drama 26 episod untuk RTM.

"Projek drama ini sebenarnya dah tergendala. Sepatutnya penggambaran dibuat di Beirut, Lubnan pada tahun lalu tapi terpaksa ditangguhkan akibat Covid-19.

"Untuk teruskannya, saya terpaksa tukar tajuk dan tukar lokasi penggambaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 5:01 PM