UPIN dan Ipin.
UPIN dan Ipin.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Program animasi popular, Upin & Ipin melangkah setapak lagi apabila perkhidmatan penstriman televisyen Netflix di United Kingdom (UK) dan Australia mula menayangkan karya terbitan Les' Copaque Production Sdn Bhd kepada pelanggan sejak 7 April lalu.

Pengurus Pemasaran Antarabangsa, Karya Budi Mohd Aris, 39, berkata, tawaran Netflix UK dan Australia itu membuktikan kisah kembar itu adalah sebuah karya tempatan bermutu dan diterima ramai.

"Kami berbesar hati apabila Netflix UK dan Australia mahu menayangkan karya kami di platform mereka. Penayangan Upin & Ipin membuktikan kualiti kandungan yang kami keluarkan sekali gus memberi petunjuk bahawa kami mencapai standard antarabangsa.

"Kami juga bangga apabila kisah Upin & Ipin yang dipaparkan diterima baik di mana-mana negara. Ini bererti kandungan kami bermutu untuk dibawa ke luar negara. Biarpun Upin & Ipin adalah buatan Malaysia, ia masih mendapat perhatian di seluruh dunia," katanya.

Menurut Budi, pihaknya belum dapat mengenal pasti sama ada Upin & Ipin adalah karya animasi tempatan pertama yang dipilih dalam platform penstriman itu.

"Apa yang lebih penting sekarang ini adalah pihak sana menerima kandungan kami, ia sudah cukup membuatkan kami bangga. Saya tidak boleh katakan Upin & Ipin adalah animasi pertama yang ditayangkan di platform di dua negara terbabit.

"Ini membuktikan bahawa hasil kerja kami bukan saja diterima di Malaysia, malah di luar negara," katanya.

Siri Upin & Ipin yang ditayangkan Netflix UK dan Australia adalah musim kelima sehingga kelapan selain musim 11 dan 12.

Dalam perkembangan lain, Upin & Ipin yang mendapat sambutan luar biasa di Indonesia kini dalam proses menghasilkan musim ke-15.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 3:43 PM