Aina Abdul
Aina Abdul
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, Aina Abdul bersedia dikritik dan menerima teguran terhadap single terbaharu, Sepi yang diberi nafas baharu dalam bahasa Korea, baru-baru ini.

Aina berkata, dia bersikap terbuka terhadap apa saja komen berkenaan cara sebutan bahasa Korea dalam lagu yang dilancarkan Februari lalu itu.

"Saya tak rasa bimbang orang nak kritik cara sebutan saya terhadap lagu itu. Ini kerana saya sudah bersedia untuk mempelajari bahasa Korea dengan lebih baik," katanya.

Menurut Aina, antara sebab utama dia mengambil keputusan untuk muncul dengan versi Korea kerana sudah mengumpul peminat dan penggemar lagu Korea.

"Saya bersyukur ada yang meminati saya menerusi lagu-lagu K-Pop yang saya nyanyikan semula di YouTube.

"Saya bersedia menerima teguran dan kritikan. Lagu Korea sendiri pun ada menyelitkan lirik dalam bahasa Inggeris dan cara sebutan mereka pun tidak begitu sempurna. Namun, ramai peminat menerima perkara itu dengan baik dan tidak mempertikaikannya kerana kejujuran yang dipersembahkan.

"Secara peribadi, saya menghormati budaya dan bahasa Korea. Ia adalah salah-satu bahasa yang patut untuk saya pelajari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 10:47 AM