SINGLE baharu, Persis Salju dikeluarkan selepas 20 tahun.
SINGLE baharu, Persis Salju dikeluarkan selepas 20 tahun.
Najiy Jefri


PENYANYI dan guru vokal popular, Datuk Syafinaz Selamat menyarankan penyanyi baharu supaya membuat pelaburan dengan mengikuti kelas vokal bagi mengasah bakat nyanyian mereka.

Syafinaz berkata, negara patut mencontohi bagaimana persiapan yang dilakukan penyanyi Kpop dari Korea Selatan sebelum mereka menyertai industri muzik.

"Apabila terkenal di Instagram dan YouTube, secara tak langsung wang pun akan masuk. Jadi tak salah laburkan sikit untuk tambah ilmu. Saya sendiri keluarkan banyak wang untuk belajar.

"Kalau kita lihat penyanyi Kpop, berapa lama mereka berlatih? Industri mereka ada pakej siap sedia dengan tarian dan nyanyian. Ada yang berlatih sejak berusia 13 tahun dan apabila usia 18 tahun baharu mereka muncul dengan single pertama. Mereka serius dengan karier nyanyian.

"Mungkin saya sedih sebab jiwa saya adalah pendidik. Ini hanya sekadar pendapat, saya harap tiada yang salah faham, saya cuma mahu mereka semua bergerak ke depan," katanya.

Menurut Syafinaz, dia mengakui kebanyakan pendatang baharu sekarang bersandarkan pada populariti di media sosial dan bukannya bakat nyanyian.

"Saya sedih apabila kemunculan mereka hanya melihat kepada populariti dan bukan pada bakat seni itu. Ramai yang terkenal dan mampu meraih jumlah tontonan tinggi di laman sosial dengan sekadar menyanyi.

"Malah saya juga sedar banyak syarikat rakaman dan program televisyen tengok berapa juta pengikut, cari penyanyi yang viral. Pihak stesen TV dan syarikat rakaman pula memikirkan mengenai perniagaan, mahu buat duit. Bila orang minat mereka akan panggil dan ekosistem ini takkan berhenti.

"Bukan menidakkan rezeki orang tapi saya rasa mereka perlu ambil peluang ini untuk perbaiki diri. Menyedihkan, dah ada peluang tapi tak nak perbaiki diri. Kemahiran menyanyi ini boleh ditingkatkan lagi," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu berjudul Persis Salju yang diadakan di The Westin, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

SYAFINAZ saran penyanyi baharu ikuti kelas vokal.
SYAFINAZ saran penyanyi baharu ikuti kelas vokal.

Ditanya mengenai single Persis Salju, Syafinaz berkata, single terbaharu adalah buah tangan terbaharu selepas 20 tahun.

"Pejam celik pejam celik, single ini sudah 10 tahun terperap. Ikut perancangan nak keluarkan tahun lalu namun kekangan pandemik Covid-19 dan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

"Selepas 20 tahun tak keluarkan single baharu, saya akui sampai ada yang terlupa saya adalah penyanyi dan mereka ingat saya guru vokal semata-mata.

"Semestinya kemunculan single baharu ini dapat mengubat kerinduan peminat yang sudah lama menantikan lagu nyanyian saya. Besar harapan saya orang ramai terus memberi sokongan kepada Persis Salju ini," katanya.

Persis Salju ciptaan KuSham dan Zaira sudah boleh didengari di semua platform digital bermula Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 6:40 AM