PELUANG kerjasama, Sophia dapat berkolaborasi dengan Ajai.
PELUANG kerjasama, Sophia dapat berkolaborasi dengan Ajai.
Norhayati Nordin


MESKIPUN ketika ini industri seni tanah air berdepan kekangan tertentu akibat pandemik Covid-19 yang belum berakhir, namun kehadiran bakat baharu sentiasa bersilih ganti.

Ada sahaja penyanyi yang muncul menghasilkan single untuk perhatian pendengar muzik tempatan. Salah seorangnya, pendatang baharu dikenali sebagai Sophia Zuhri.

Berusia 17 tahun, gadis manis ini bukan hanya berbakat dalam nyanyian, tapi penciptaan lagu juga.

Justeru, dia melancarkan singlenya berjudul Game Of Charades.

Mengulasnya,

Sophia berkata, dia gembira apabila dapat bekerjasama dengan komposer terkenal, Ajai yang diakui sangat dikagumi dalam kepakaran muzik untuk bersama-sama menghasilkan karya itu.

"Lagu Game Of Charades ini, muziknya bergenre fusion Britpop dan jalan cerita pula mengisahkan ketidaksempurnaan manusia. Justeru, kita juga tidak boleh menilai orang lain hanya dengan penampilan mereka.

"Apapun, ilham saya menulis lagu selalunya mengenai sesuatu situasi atau keadaan yang menyentuh perasaan. Sama ada, ia daripada pengalaman saya sendiri ataupun melalui pemerhatian di sekeliling.

"Secara tak langsung, saya juga akan memetik ukulele dan mula menulis melodi lagu itu, termasuk menyanyikannya di telefon supaya tidak hilang begitu saja," katanya.

Menurut Sophia lagi, dia sudah memulakan karier nyanyian dan penulisan lagu seawal usia 14 tahun kerana muzik sentiasa menjadi keutamaannya.

Ditambah, dia juga mahir bermain ukulele dan mudah baginya menterjemahkan erti kehidupan melalui muzik. Jadi, dia cuba berkongsi cerita dalam lagu-lagunya.

SOPHIA pertaruh single Game of Charades.
SOPHIA pertaruh single Game of Charades.

Bagi Ajai pula, memiliki minat sama dalam muzik cukup membantu memudahkannya bekerjasama dengan Sophia. Katanya, Sophia ada potensi bakat yang boleh digilap.

"Saya mahu dia memiliki vokal yang lebih baik berbanding dengan apa sudah diperolehnya sekarang. Apatah lagi, saya melihat dia ada bakat dan boleh pergi lebih jauh jika terus berusaha.

"Sebagai penerbit lagu, saya boleh mengatakan bakat Sophia cukup mengingatkan saya pada pengalaman diri sendiri ketika mula-mula menceburi industri muzik pada era 1990-an lalu.

"Tak dinafikan, saya sebenarnya dapat melihat diri sendiri dalam bakat seni dimiliki Sophia. Sejujurnya, saya tidak menerbitkan lagu untuk semua orang, tapi Sophia agak berbeza," katanya.

Menurut Ajai, baginya Sophia adalah penyanyi yang memiliki kelas tersendiri serta berjaya membuat dia bersetuju untuk kolaborasi. Katanya, dia benar-benar mahu melihat Sophia

berjaya mengejar apa yang diimpikan.

Sehubungan itu, muzik video lagu Game of Charades sudah dilancarkan di YouTube Universal Music Malaysia dan boleh didapati di semua pelantar muzik. Jika tiada aral,

Sophia juga dalam perancangan menghasilkan album mini

dengan lima buah lagu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 6:31 AM