EZA kini muncul dengan lagu baharu, Miliki Hatiku.
EZA kini muncul dengan lagu baharu, Miliki Hatiku.
Najiy Jefri


WAJAHNYA mungkin kurang dikenali, namun tatkala sebut saja lagu Bahagia pastinya nama penyanyi, Eza Edmond akan terlintas difikiran kebanyakan peminat.

Siapa sangka lagu Bahagia itu benar-benar berjaya membantu melonjakkan nama Eza seterusnya memperkenalkan dirinya kepada khalayak umum.

Bagi Eza, single Bahagia dinyanyikan sangat memberi pengalaman berharga buatnya. Lebih 10 juta tontonan di YouTube rasmi dan 40 juta tontonan di saluran lain membuatkan dia antara individu paling gembira.

Kini selepas tiga tahun merakamkan Bahagia, Eza tampil dengan lagu Miliki Hatiku yang dilancarkan secara rasmi di saluran YouTube Sheikh Qalam Records pada 25 Februari lalu.

"Memang saya gembira apabila perjalanan sebagai penyanyi dipermudahkan. Masa mula merakamkan lagu Bahagia dulu, saya sendiri tidak menyangka karya itu akan diterima baik oleh peminat sehingga tular.

"Sudah pasti apabila hadir dengan single baharu ini, saya berharap momentum itu akan berkekalan. Setidak-tidaknya, Miliki Hatimu perlahan-lahan diterima ramai seterusnya mengingatkan semula ingatan peminat kepada saya," katanya.

Jika lagu Bahagia berkisar kepada kisah duka dalam percintaan, Miliki Hatiku pula lebih berkonsep pop, mudah didengar dan mempunyai mesej positif dalam perhubungan.

Lagu yang dicipta Eza bersama Aizuddin Madani itu, diakui mempunyai bait-bait lirik yang mudah difahami dan tidak berkiasan seperti kebanyakan lagu lain.

Kata anak kelahiran Tuaran, Sabah ini lagi, 'trend' muzik semasa sekarang yang mahukan lirik dan mesej sebegitu untuk menjadi rujukannya dalam berkarya.

HARAP pandemik Covid-19 reda, Eza mahu aktif membuat promosi lagu.
HARAP pandemik Covid-19 reda, Eza mahu aktif membuat promosi lagu.

"Bila saya rakamkan lagu Bahagia dulu, dapat dirasakan pendengar lebih suka kepada lirik yang mudah difahami. Sebab itu untuk lagu kali ini, saya gunakan formula yang sama.

"Harapnya, Miliki Hatiku akan mampu diterima baik oleh pendengar. Soal lambat diterima atau tidak, saya tak kisah sangat. Asalkan masih ada yang sudi mendengar pun sudah cukup baik," katanya.

Eza atau nama sebenarnya Eza Hafizah Edmond baru sahaja menyelesaikan pengajian ijazah dalam bidang persembahan muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Dia yang kini masih 'terkandas' di kampung kelahirannya, berharap pandemik Covid-19 segera berakhir untuk memudahkannya kembali ke Kuala Lumpur bagi meneruskan promosi lagu dan sebagainya.

"Buat masa ini saya masih berada di kampung di Tuaran ini. Kalau keadaan dah reda, baru saya pulang ke ibu kota. Sekarang, saya hanya fokus membuat promosi secara dalam talian (online) dahulu," katanya.

Untuk rekod, sepanjang bergelar penyanyi Eza pernah terbabit dalam pelbagai acara besar termasuk Boombastik CTDK Hot FM 2019, Konsert Jazz UITM 2019, Showcase Anugerah Meletop Era 2019 dan pelbagai acara seni yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 6:20 AM