Rita Rudaini.
Rita Rudaini.
Oleh Norhayati Nordin


Petaling Jaya: Pelakon Rita Rudaini menyifatkan teguran diberi pelakon senior kepada bakat baru yang menceburi bidang lakonan bukan disebabkan iri hati atau berniat mahu menjatuhkan sesiapa.

Rita berkata, ia sebagai peringatan kepada mereka untuk mengambil teguran itu dari aspek positif dan seterusnya berusaha memperbaiki kekurangan itu supaya memudahkan banyak pihak.

"Kerja lakonan ini bukan membabitkan seorang, tapi berpasukan. Jadi, teguran diberikan itu adalah untuk kebaikan, bukan sebab dengki atau apa-apa pun. Orang yang tak ada di set penggambaran tak nampak apa sebenarnya terjadi. Kami yang bekerja di lokasi yang menanggung semua itu. Bukan saya seorang saja cakap macam ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Rita, sebagai pelakon lama dan senior, dia sangat menyokong kehadiran pelakon baru sebagai pelapis.

"Saya dulu pun, mula-mula masuk ke penggambaran memang 'kayu' juga. Tapi, bezanya kita hormat dengan yang lama. Bila masuk ke set, memang kita rasa kecil dan rela pergi belajar dengan sendirinya. "Walaupun di situ bukan tempat belajar, tapi bila tak tahu kita akan tanya pengarah atau pelakon lain untuk minta pandangan. Tapi, pelakon sekarang tak semua macam itu. Ada yang duduk dalam kereta, main telefon," katanya.

Mengulas dakwaan mengatakan ada pelakon senior bersikap lokek ilmu, Rita menafikan perkara itu berlaku.

Katanya, pelakon senior sebenarnya lagi suka berkongsi ilmu kerana mereka juga yang akan berlakon sama.

"Umpamanya, takkan saya seorang saja nak memberi dalam lakonan, tak bolehlah itu. Masa zaman saya mula-mula dulu, kalau berlakon sesuatu watak sama ada boleh atau tidak, tetap akan cakap dengan pengarah untuk berbincang. Malah, selalu juga bertanya dengan pelakon senior.

"Sekarang, situasinya dah tak macam itu lagi. Ada pelakon baru yang tak nak bertegur sapa, apa lagi nak bertanya pasal watak dan berbincang dengan pelakon lain," katanya.

Rita berkata, dulu jika dia tak dapat membuat satu babak itu akan rasa malu sepanjang hari dengan semua orang.

Dia juga akan salahkan diri sendiri kenapa tak boleh buat dengan baik seperti pelakon lain.

Namun, sekarang apabila bersuara, orang akan kata dengki.

"Mereka tak tahu cerita sebenar di lokasi kerana sudah dihidangkan dengan produk yang cantik untuk tontonan tanpa cacat celanya oleh pengarah," katanya.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan kekecewaan pelakon dan pengarah, Isma Yusoof terhadap lakonan pelakon baru yang disifatkan 'kayu' ketika dia menggalas tanggungjawab mengarahkan drama Shah Alam 40,000.

Rentetan itu, ramai pelakon senior tampil bersuara berkongsi luahan mereka berhadapan kerenah segelintir pelakon baru, termasuk Rita sebagai salah seorang pelakon dalam drama berkenaan.

Namun, perkongsian luahan itu disalah erti segelintir pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 9:56 PM