MAMPUKAH Minari mencipta fenomena seperti Parasite
MAMPUKAH Minari mencipta fenomena seperti Parasite
Ridzuan Abdul Rahman


SELEPAS Parasite, kini giliran Minari pula meraih penghargaan antarabangsa apabila dicalonkan dalam enam kategori di Academy Awards 2021 atau Oscars, Isnin lalu.

Filem arahan Lee Isaac Chung ini dicalonkan untuk kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Steven Yeun), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Youn Yuh Jung), Lakon Layar Asal Terbaik dan Skor Terbaik di Oscars yang akan berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada 26 April ini.

Walaupun menampilkan filem dalam bahasa Korea, Minari diterbitkan syarikat produksi milik Brad Pitt yang berpangkalan di AS, manakala pengarahnya, Isaac Chung pula berdarah Korea tetapi dilahir dan dibesarkan di AS.

Selain Isaac Chung yang memegang status kerakyatan AS, pelakon filem ini seperti Steven Yeun, Han Ye Ri, Alan Kim, Noel Kate Cho dan Youn Yuh Jung adalah dari Korea Selatan.

Yuh Jang yang juga pelakon wanita veteran menjadi pelakon Korea Selatan pertama dicalonkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Oscars.

Terdahulu, dia dianugerahkan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di St Louis Critics Association pada 17 Januari lalu dan setakat ini sudah meraih 12 trofi kemenangan.

SUDAH meraih pelbagai anugerah di festival filem antarabangsa
SUDAH meraih pelbagai anugerah di festival filem antarabangsa

Apa yang menarik, Minari berdasarkan kisah benar yang ditulis Isaac Chung berkaitan dengan kehidupan keluarganya.

Ia mengisahkan mengenai satu keluarga imigran dari Korea Selatan yang berhijrah ke satu kawasan pedalaman di AS pada 1980-an.

Ia menceritakan perjuangan mereka untuk bertahan hidup sebagai kaum minoriti di AS.

Filem ini sudah meraih banyak penghargaan termasuk di Sundance Film Festival, Chicago Critics Association Awards dan festival filem terkenal dunia yang lain.

Ia juga dipilih sebagai satu daripada 10 filem terbaik tahun 2020 oleh American Film Institute dan National Board of Review.

Selain itu, Minari juga meraih penghargaan Filem Berbahasa Asing Terbaik di Golden Globe Awards. Selain mendapat perhatian hangat dari industri filem domestik dan antarabangsa, Minari juga menguasai carta pecah panggung Korea Selatan apabila mencatat 277,000 penonton bagi tempoh lima hari tayangan bermula 4 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 8:44 AM