GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Pembukaan semula panggung wayang sejak 5 Mac lalu nampaknya mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat filem tanah air.

Ternyata, ramai mahukan kepuasan menonton menerusi skrin gergasi dalam panggung wayang selepas beberapa bulan hanya menonton filem di rumah saja.

Pengurus Perhubungan Awam dan Penjenamaan Golden Screen Cinemas (GSC), Sharmine Ishak berkata, kehadiran penonton sepanjang hujung minggu lalu begitu menggalakkan lebih-lebih dengan penayangan beberapa filem paling dinanti.

"Pembukaan panggung wayang sepanjang hujung minggu lalu menyaksikan kehadiran penggemar filem yang ramai. Ia kerana penayangan filem paling dinanti termasuk Demon Slayer: Kimetsu No Yaiba The Movie, Mugen Train, Raya and The Last Dragon dan Stand By Me Doraemon 2.

"Kami menantikan pertambahan lebih banyak penonton pada minggu mendatang dengan penayangan beberapa filem pecah panggung. Ia termasuk Monster Hunter, Godzilla vs Kong dan Mortal Kombat.

"Sambutan itu membuktikan penggemar filem seronok dapat menikmati hiburan lebih mengasyikkan yang cuma boleh ditawarkan dalam panggung wayang," katanya.

Terdahulu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan panggung wayang dibenarkan untuk membuka operasi semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kembali dilaksanakan di beberapa negeri bermula 5 Mac lalu.

Berita itu ternyata melegakan pengusaha panggung wayang selepas sektor terbabit terjejas teruk akibat penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga mengalami kerugian lebih RM400 juta dalam tempoh 10 bulan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 5:42 PM