MY Boo, single solo pertama taruhan bakat baharu, Alif Ali.
MY Boo, single solo pertama taruhan bakat baharu, Alif Ali.
Norhayati Nordin

MINAT menyanyi sejak kecil mendorong bakat baharu, Alif Ali memberanikan diri untuk mencuba nasib. Remaja berusia 16 tahun ini cukup yakin pada bakatnya.

Tampil dengan single solo berjudul My Boo, Alif berkata, lagu itu sangat sesuai dengan vokalnya dan genre muzik dipilih juga tepat sebagai percubaan pertama.

"Walaupun saya gementar ketika merakamkan lagu My Boo ini, tapi ia tidak sesukar difikirkan. Muziknya ringan dan lirik juga 'catchy' untuk pendengar.

"Saya yakin My Boo ini ada potensi tersendiri yang mana ia mengisahkan percintaan seorang lelaki mengharapkan kasihnya dibalas wanita yang bersikap jual mahal," katanya.

Alif yang melancarkan video lirik lagu My Boo baru-baru ini berkata, dia membuat percubaan berani dengan mempertaruhkan karya hasil ciptaan Sheikh Baseer itu.

"Sebaik mendapat melodi dan lirik lagu ini, saya terus sukakannya kerana sangat sesuai dengan vokal. Sebagai penyanyi baharu, saya tahu banyak yang perlu dipelajari terutama luahan emosi.

"Apapun, saya sudah membuat yang terbaik untuk lagu ini dan harapan saya semoga ia akan diterima dan mendapat sambutan," katanya.

Sedar harus berhadapan persaingan yang ramai, Alif berkata, dia yakin dan percaya pada bakat seni dimiliki.

Katanya, dia akan terus berusaha sehingga berjaya dan perjalanannya pun masih panjang.

Mengulas mengenai cara nyanyiannya yang kaku, Alif tidak menafikannya.

Katanya, ini adalah pengalaman pertama dia melangkah kaki mencuba nasib dalam bidang nyanyian.

"Dari segi pengalaman, saya masih kurang. Jadi, untuk berjaya ia perlu masa. Apapun, ini tidak melemahkan semangat saya untuk berusaha mengetengahkan bakat.

"Ini adalah permulaan dan meraih kejayaan memerlukan masa. Namun, saya akan terus memperbaiki kekurangan diri untuk menjadi yang lebih baik. Saya takkan berputus asa," katanya.

Berbicara mengenai kecaman netizen, Alif berkata, dia juga sudah sedia berhadapan dengan segala kritikan.

Katanya, mana yang dilihat membina diterima sebagai panduan dan jika negatif pula dibiarkan sahaja.

Lagu My Boo yang diterbitkan Pencil Pictures & Records Sdn Bhd diedarkan Indigital Music. Video lirik My Boo kini boleh ditonton di saluran YouTube Indigital Music yang dilancarkan seminggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 6:20 AM