LAGU Aku Solo diharap dapat menaikkan namanya.
LAGU Aku Solo diharap dapat menaikkan namanya.
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI baharu ini pernah menghasilkan dua lagu bergenre balada. Namun, tuah dan rezeki belum berpihak pada dirinya untuk berada sebaris dengan beberapa penyanyi muda lain yang lebih menyerlah.

Tidak mahu berputus asa, Rief Daniel, 24, atau nama sebenarnya Arief Daniel Zayadi muncul pula dengan single ketiga berjudul Aku Solo yang turut mendapat sentuhan penyanyi Yonnyboii selaku penggubah lagu itu.

Walaupun Rief masih menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi, dia sebolehnya mahu kerjaya nyanyian berjalan dengan baik bagi membuktikan bakat yang ada dalam diri.

"Kebetulan saya pergi ke rumah Yonnyboii untuk menghasilkan lagu. Dia bertanya mengenai hal peribadi saya lalu menceritakan semuanya. Dia nampak apa yang saya sedang hadapi, sedangkan saya sendiri tidak tahu bahawa saya berasa kesunyian kerana tiada pasangan di samping saya. Saya menceritakan semua masalah tetapi dia hanya nampak masalah pasangan yang dihadapi oleh saya," katanya.

Bertitik-tolak dari situ maka terhasillah lagu Aku Solo yang mengisahkan mengenai seseorang yang tidak mempunyai pasangan dan berasa sunyi kerana tiada sokongan daripada seorang yang bergelar kekasih. Walaupun begitu, dia masih tersenyum bagi menyimpan isi hati yang terpendam.

Rief berkata, ketika proses rakaman lagu itu, dia perlu mengubah cara nyanyian mengikut rentak lagu kerana sebelum ini lebih ke arah genre balada.

"Yonnyboii berasakan kehadiran saya memberi impak yang positif dan kegembiraan kepadanya lalu dia menggubah lagu ini dengan genre pop.

"Alhamdulillah, selepas dapat rentak nyanyian dan cara saya tersendiri dalam lagu ini, saya dapati bahawa lagu ini memang kena sangat dengan diri saya dan lagu ini juga mempunyai melodi yang sangat unik yang boleh menangkap perhatian pendengar," katanya.

Rief yang bernaung di bawah syarikat Plan E Solutions berharap peminat muzik dapat menerima baik buah tangan terbaharu itu.

"Percayalah, anda akan rasa apa yang saya rasa. Saya juga berharap agar semua pendengar dapat menerima lagu ini dengan baik dan dengan izin Allah, harapnya lagu ini akan diminati ramai dan boleh memberi impak yang positif dan kuat kepada pendengar.

"Sama-sama kita menyuarakan apa yang kita rasa. Jangan risau lagu ini hanya mengambil masa dua minit 45 saat sahaja, saya rasa lagu ini lagu terpendek," katanya.

Lagu Aku Solo sudah berada di semua platform muzik digital seperti Spotify, Apple Music, iTunes, KKBox, Deezer dan Joox dan video muzik boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 6:16 AM