ZULKIFLI (tiga dari kiri) bersama Namanzee (tiga dari kanan) ketika melancarkan program Dengar.
ZULKIFLI (tiga dari kiri) bersama Namanzee (tiga dari kanan) ketika melancarkan program Dengar.
Sudirman Mohd Tahir

BUAT pertama kali stesen televisyen, TV Alhijrah menerbitkan rancangan terbaharu, Dengar yang lari daripada kebiasaan stesen TV ini yang cukup terkenal dengan DNA menyampaikan ilmu yang memerlukan keupayaan berbicara berbanding mendengar.

Dengar adalah program semi realiti yang mendengar permasalahan individu yang tular di media sosial seterusnya memberikan bantuan serta mencari penyelesaian terbaik buat permasalahan itu.

Program itu disiarkan secara langsung sebanyak 13 episod setiap Khamis, jam 9 malam bermula semalam.

Dengan tagline Mendengar Masyarakat, pasukan penerbitan Dengar akan segera turun padang setiap kali menerima aduan atau kisah kesusahan yang dikongsikan netizen menerusi e-mel rasmi program berkenaan.

Tujuan turun padang adalah tidak lain tidak bukan untuk memastikan kesahihan serta menilai ruang penyelesaian serta saluran terbaik untuk memberikan bantuan.

Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah Namanzee Harris berkata, program itu lebih kepada menyelesaikan masalah yang dihadapi individu.

"Masyarakat pada hari ini menjadi sangat memilih dalam meminjamkan pendengaran. Kemahiran mendengar selalu diabaikan dalam komunikasi yang berkesan. Obsesi kita terhadap isu yang dipilih untuk lihat, beri perhatian dan solusi menyebabkan gambaran permasalahan secara besar tersasar, malah gagal difahami secara menyeluruh.

JULIA (kiri) bersama peserta dan Peter Wong.
JULIA (kiri) bersama peserta dan Peter Wong.

"Allah menciptakan manusia sempurna dengan dua pasang kaki, tangan, mata dan telinga. Namun, Allah ciptakan kita semua dengan satu mulut sahaja. Maka, kurangkan bercakap namun lebihkan mendengar dan mengambil tindakan.

"Ini yang kita cuba terapkan dalam rancangan Dengar. Kita percaya bahawa mendengar itu sendiri adalah syifa', penyembuh dan rawatan buat yang memerlukan. Apatah lagi selepas itu kita susulkan pula dengan tindakan lanjutan yang membawa kepada penyelesaian permasalahan itu," katanya.

Namanzee berkata, Dengar adalah cetusan idea dan inspirasi daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

"Program ini adalah hasil cetusan idea dan inspirasi beliau yang menuntut pembabitan dan kerjasama semua pihak seperti agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan syarikat korporat. Ini adalah gerak kerja bersifat 360 darjah. Bermula dengan aduan yang kami terima daripada netizen, kru akan turun padang meninjau dan menjalin hubungan awal dengan responden yang sedang berada dalam musibah.

ANTARA kes yang diberi perhatian dalam program ini.
ANTARA kes yang diberi perhatian dalam program ini.

"Kerja pasukan penerbitan tidak habis di situ. Mereka kemudian perlu membuat kajian lanjut serta berhubung dengan agensi-agensi dan pihak-pihak yang berkenaan dalam mencari solusi terbaik. Kemudian, kita akan jemput responden ke studio digital TV Alhijrah untuk sesi perkongsian.

"Kita selit pula elemen kejutan buat responden. Di studio, responden akan menerima bantuan yang diperlukan sama ada daripada pihak penaja atau agensi-agensi yang berkenaan. Bantuan pula tidak tertumpu kepada material semata, ia termasuk sokongan emosi dan psikologi," katanya.

Program Dengar menampilkan pengacara Wan Kamarudin Wan Ibrahim selaku hos di studio dan Hazeman Huzir sebagai wartawan lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 6:20 AM