Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, Ameer Forteen berkongsi berita gembira mengenai kelahiran cahaya mata keduanya, seorang bayi lelaki yang selamat dilahirkan jam 7.52 pagi tadi.

Ameer atau nama sebenarnya Mohd Arif Ameerais Azhar berkongsi berita gembira itu menerusi akaun Instagram miliknya dan turut memuat naik gambar dengan isteri, Siti Nurnaja'a Shamsul Kamar bersama bayi mereka.

"Bissmilahirrahmanirrahim. Assalamualaikum. Alhamdulillah.

"Kami ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi. Putera kedua kami selamat dilahirkan pada hari Selasa, 2 Mac 2021 bersamaan dengan 18 Rejab 1442 Hijrah pada jam 7.52 pagi tadi secara normal dengan berat 3.77 kilogram (kg)," tulisnya.

Belum menyatakan sebarang nama yang dipilih, Ameer hanya meletakkan hashtag, #BabyN untuk anak keduanya itu.

Ameer juga memohon doa daripada pengikutnya di Instagram buat isteri dan bayinya.

"Doakan semoga ibu dan bayi sihat sentiasa dan dipermudahkan urusan.

"Terima kasih atas titipan doa dari kalian. Semoga doa yang baik-baik berbalik pada kalian juga. Insya-Allah," tulisnya.

Ameer dan Nurnaja'a mendirikan rumah tangga pada 1 Mac 2019 dan dikurniakan cahaya mata pertama, Noah Eusoff pada 14 Mac tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 8:28 PM