Allahyarham Hassan Idris.
Allahyarham Hassan Idris.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Bekas pemain gitar utama dan pengasas bersama kumpulan The Strollers yang juga bekas peserta Kilauan Emas musim kelima (KE5), Hassan Idris meninggal dunia pada usia 73 tahun di kediamannya di Seri Menanti, Negeri Sembilan sekitar jam 12 tengahari, semalam.

   Kematian Hassan juga adalah yang ketiga membabitkan bekas peserta KE5, selain Allahyarham Hasbi dan Jack Zul yang dilaporkan meninggal dunia sebelum ini.

   Bagaimanapun, berita kematian Hassan ini disahkan oleh anak saudaranya Tunku Noor Khalilah yang juga seorang penggiat seni.

   "Allahyarham tidak menunjukkan sebarang tanda sakit dan seorang yang suka mengemas halaman rumah. Pada paginya, dia sempat mesin rumput di sekitar rumah.

   "Pada Ahad lalu, Allahyarham mengadu kurang sihat dan makcik saya (isterinya) beri dia makan Panadol. Pagi semalam, dia minta nak makan bubur lambuk kerana itu memang kegemarannya.

   "Makcik masak bubur lambuk dan apabila dah siap dalam jam 12 tengahari, dia masuk ke bilik untuk kejutkan suaminya, tapi tiada tindak balas," katanya kepada Harian Metro.

   Menurutnya, petugas Klinik Kesihatan Seri Menanti yang tiba di rumah Allahyarham selepas itu, mengesahkan Hassan sudah meninggal dunia.

   "Memang kami amat sedih kerana Allahyarham sangat baik dan  disenangi dalam keluarga, saudara mara dan jiran tetangga.

   "Setiap waktu solat, pakcik akan solat di Masjid Tuanku Munawir Seri Menanti. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Seri Menanti, selepas Asar," katanya.

   Sepanjang karier seninya, Hassan pernah merakamkan album bertajuk 'Waiting Is…' di bawah syarikat CBS. Malah, Allahyarham juga pernah merantau dan bermain muzik di Eropah.

   Selain The Strollers, beliau juga adalah pengasas kumpulan Headwind. Apapun, kumpulan The Strollers yang ditubuhkan Hassan pada tahun 1965 pernah mendapat pengiktirafan sebagai 'Band Pertama Pop Malaysia' oleh Malaysia Book of Records.

   Mereka adalah kumpulan pertama Malaysia dan satu-satunya yang menandatangani kontrak dengan label rakaman antarabangsa untuk mengeluarkan lagu-lagu Inggeris. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 11:20 AM