Najiy Jefri


Selepas dua dekad putus cinta dengan Britney Spears, Justin Timberlake membuat permohonan maaf secara terbuka kepada bintang pop itu, baru-baru ini.

Timberlake berkata, selain Spears dia juga sudah mengecewakan penyanyi Janet Jackson pada masa lalu.

Timberlake

berkata demikian menerusi Instagram selepas menerima kritikan di media sosial dan media arus perdana minggu lalu mengenai isi temu bual yang dibuat 20 tahun lalu mengenai hubungannya dengan Spears.

Kemarahan ramai itu berpunca daripada siaran dokumentari televisyen baru-baru ini mengenai jatuh bangun karier Spears, termasuk ketika dia dimalukan di media selepas hubungannya dengan Timberlake berakhir pada 2002.

Lebih menyedihkan, Timberlake turut berdepan kecaman selama bertahun-tahun kerana dikatakan gagal bertanggungjawab terhadap insiden di atas pentas ketika pertunjukan separuh masa Super Bowl pada 2004, hingga mengakibatkan payudara Janet Jackson terdedah.

"Saya secara peribadi ingin memohon maaf kepada Britney Spears dan Janet Jackson kerana saya sangat sayang dan hormat pada dua wanita ini yang saya sudah kecewakan," katanya.

Penyanyi lagu Sexy Back itu yang sudah berkahwin dengan pelakon Jessica Biel berkata, dia memohon maaf kerana tidak mengeluarkan kenyataan yang betul pada masa lalu.

HUBUNGAN Timberlake dengan Spears hanya bertahan selama tiga tahun.
HUBUNGAN Timberlake dengan Spears hanya bertahan selama tiga tahun.

Malah, selepas putus cinta dengan Spears, dia secara terbuka mendedahkan kepada sebuah stesen radio yang mereka pernah tidur bersama sepanjang berhubungan walaupun Spears sebelum itu berikrar ingin menjaga kesucian dirinya sehingga selepas berkahwin.

"Saya minta maaf di atas perbuatan saya yang sudah mencetuskan masalah. Saya benar-benar menyesal kerana Spears adalah antara individu yang pernah saya sayang. Saya tahu saya gagal melindunginya," katanya.

Timberlake dan Spears bercinta kira-kira tiga tahun sebelum berpisah secara mengejut pada 2002.

TIMBERLAKE kini sudah berkahwin dengan Jessica Biel.
TIMBERLAKE kini sudah berkahwin dengan Jessica Biel.

Spears kemudiannya dipertikai media mengenai isu 'status dara', manakala Timberlake pula terus meraih populariti apabila menghasilkan lagu Cry Me a River yang kononnya memberi isyarat bahawa Spears curang kepadanya.

Sementara itu, isteri Timberlake, Jessica menyuarakan sokongan terhadap suaminya menerusi komen 'I love you' disusuli emoji 'hati'.

Pasangan itu berkahwin pada 2012 dan mempunyai dua anak lelaki, Silas, 5, dan Phineas yang dilahirkan September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 6:31 AM